MUHYIDDIN menyenduk nasi kepada mangsa banjir.
MUHYIDDIN menyenduk nasi kepada mangsa banjir.

Temerloh: Kebanyakan mangsa banjir di daerah ini lega dan bersyukur kerana sesi persekolahan bagi 2015 ditangguhkan sehingga 12 Januari tahun depan.

Mohd Hussin Abdullah, 43, berkata, pengumuman itu membantu ibu bapa di kawasan yang teruk dilanda banjir untuk mempersiapkan keperluan sekolah anak mereka.

Dia yang tinggal di Taman Seri Kelina, Kampung Paya Pulai, dekat sini, berkata, semua harta benda di rumahnya dipercayai musnah kerana ditenggelami air melebihi satu meter sejak 27 Disember lalu.

“Saya mempunyai tiga anak yang masih bersekolah dan semua peralatan sekolah termasuk baju dan buku sudah dibeli. Mungkin semuanya tidak dapat diselamatkan.

“Penangguhan lebih seminggu jika diikutkan tidak cukup sebab kami perlu mengemas rumah lagi. Setakat ini kami tidak tahu bila banjir akan surut,” katanya ketika ditemui di pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seberang Temerloh, di sini, semalam.

Semalam, Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sesi persekolahan bagi penggal 2015 dijadualkan bermula pada 4 dan 5 Januari ditangguhkan sehingga 11 dan 12 Januari ini kepada semua sekolah di seluruh negara.

Seorang lagi mangsa banjir dari Kampung Seberang Temerloh, Siti Hajariah Ahmad, 48, berkata, semua mangsa banjir di daerah itu turut mengharapkan bantuan daripada aspek lain selepas banjir surut kelak.

“Kebanyakan daripada kami hidup sederhana dan tidak menjangka banjir seteruk ini. Kami mengharapkan ada pihak dapat menyediakan bantuan seperti keperluan sekolah sebelum sesi persekolahan dibuka nanti,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Pendidikan Daerah Temerloh berkata, terdapat 20 sekolah menengah, 69 sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan di daerah terbabit.

Menurutnya, sebahagian besar sekolah terjejas teruk kerana ditenggelami air dan selebihnya dijadikan PPS mangsa banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 8:14 AM