KAWASAN Sekolah Kebangsaan (SK) Temai kini ditenggelami banjir sedalam satu meter. FOTO MOHD RAFI MAMAT
KAWASAN Sekolah Kebangsaan (SK) Temai kini ditenggelami banjir sedalam satu meter. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Sesi persekolahan 141 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, di sini terpaksa ditangguhkan sejak Selasa lalu berikutan kawasan sekolah terbabit ditenggelami air sedalam satu meter.

Kedudukan sekolah terbabit hampir dengan Sungai Pahang menjadi antara faktor kejadian banjir mudah berlaku setiap kali musim tengkujuh tiba di negeri ini.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, penangguhan itu dibuat dengan mengambil kira faktor keselamatan murid yang perlu mengharungi air untuk masuk ke kawasan sekolah berkenaan.

"Kita tidak membenarkan murid untuk datang ke sekolah kerana keseluruhan kawasan sekolah ditenggelami banjir berikutan limpahan air Sungai Pahang sejak Selasa lalu.

"Bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini lebih baik sesi persekolahan ditangguhkan seketika dan selepas keadaan pulih, mereka (murid) boleh kembali semula ke sekolah seperti biasa," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau menambah, SK Temai sebelum ini turut dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali banjir melanda beberapa kampung tradisional di kawasan terbabit.

Mohd Razali berkata, sekolah berkenaan sebelum ini pernah berdepan banjir termenung selama beberapa minggu menyebabkan air terpaksa disedut menggunakan pam dengan bantuan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Pekan.

"Terdapat 13 sekolah di daerah ini dikenal pasti sering ditenggelami banjir setiap kali tiba Monsun Timur Laut. Ia membabitkan 11 sekolah rendah dan dua menengah yang terletak berhampiran Sungai Pahang.

"Apabila air surut, sekolah terbabit akan mengadakan program gotong-royong kerja pembersihan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), beberapa agensi lain serta penduduk setempat," katanya.

Sementara itu guru besar SK Temai, Rasulahmanis Hussain berkata paras air kini semakin naik, guru dan kakitangan sekolah terpaksa menggunakan bot untuk datang ke sekolah.

"Sebelum ini banjir berlaku pada cuti persekolahan akhir tahun namun ini kali pertama banjir berlaku ketika sesi persekolahan hingga menyebabkan seramai 141 murid tidak dapat ke sekolah.

"Kejadian banjir di SK Temai tidak asing lagi, hampir setiap tahun kawasan sekolah ditenggelami banjir berikutan limpahan air Sungai Pahang yang terletak beberapa meter daripada kawasan sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Februari 2023 @ 10:32 AM