KEADAAN Sekolah Kebangsaan Temai yang ditenggelami banjir. FOTO Mohd Rafi Mamat
KEADAAN Sekolah Kebangsaan Temai yang ditenggelami banjir. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Tujuh sekolah rendah dan satu sekolah menengah di daerah ini tidak dapat memulakan sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 yang bermula esok.

Selain masih ditenggelami banjir terdapat juga sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pekan Mohd Razali Mustafar berkata, terdapat juga sekolah yang masih belum sempat dibersihkan sepenuhnya selepas ditenggelami banjir, minggu lalu.

Katanya, lapan sekolah di daerah ini ditenggelami banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, SK Pulau Manis, SK Pelak, SK Kampung Acheh, SK Padang Rumbia, SK Paloh Hinai, SK Kinchir dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai.

Menurutnya, 22 sekolah di daerah ini dijadikan PPS yang menempatkan antara 50 hingga 250 mangsa banjir.

Kebanyakan sekolah terbabit terletak berhampiran Sungai Pahang.

"Aktiviti membersih sekolah yang ditenggelami banjir bermula minggu depan apabila air surut sepenuhnya. Pihaknya terpaksa memohon bantuan pelbagai pihak untuk membantu menjayakan program berkenaan antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Sebagai contoh, di SK Temai yang turut menjadi PPS kini masih terdapat air bertakung. Kita memohon bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pekan menggunakan pam untuk menyedut air bagi dialirkan ke sungai. Selepas itu proses mencuci sekolah dapat dilakukan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga merayu pusat pengajian tinggi, persatuan belia, agensi kerajaan dan swasta untuk memberi bantuan tenaga membersih lapan sekolah yang ditenggelami banjir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 12:14 PM