NAJIB  berbincang  dengan Presiden Filipina Benigno Aquino di Busan, semalam.
NAJIB berbincang dengan Presiden Filipina Benigno Aquino di Busan, semalam.

Busan: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Korea Selatan supaya terus menjadi rakan strategik ASEAN bagi meneruskan kerjasama dalam merealisasikan penyepaduan ekonomi yang lebih mendalam - ASEAN yang dinamik untuk Asia dan dunia.

Korea Selatan katanya dapat membantu memastikan ekonomi serantau menjadi inklusif memandangkan kerjasama bersama rakan ASEAN lain akan membolehkannya menjadi lebih dinamik.

Korea dan ASEAN terbabit dalam sekurang-kurangnya empat rangka kerja - Perjanjian Rangka Kerja bagi Kerjasama Ekonomi Komprehensif, Kerjasama ASEAN+3, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Rakan Usaha Sama Ekonomi Komprehensif (RCEP).

“RCEP memberi nafas kepada konsep utama Asia. Sepuluh anggota ASEAN bersama enam rakan, menyumbang hampir 30 peratus kepada perdagangan dunia. Menjelang pertengahan abad ini, angka itu akan meningkat kepada 50 peratus,” katanya ketika berucap pada sesi penutupan Sidang Kemuncak CEO Asean-Korea Selatan di Pusat Pameran dan Konvensyen Busan (BEXCO) di sini.

Najib tiba di sini hari ini untuk lawatan dua hari dan menghadiri Sidang Kemuncak Komemoratif Asean-Korea Selatan selepas menamatkan lawatan ke Seoul.

Perdana Menteri berkata penyepaduan dan pengukuhan ekonomi menerusi RCEP dapat membuka peluang besar kepada ekonomi di negara-negara di rantau ini.

“Justeru, saya meminta supaya anda bekerja bersama kami bagi merealisasikan RCEP,” katanya dalam ucapan kepada peserta Sidang Kemuncak CEO ASEAN-Korea Selatan.

Najib berkata perusahaan Korea terus menyumbang kepada peningkatan ekonomi ASEAN, memacu pembangunan dengan menyokong perniagaan yang pesat berkembang dan melabur untuk masa depan rantau yang dinamik ini, dan kini bersama-sama kita mesti menetapkan arah tuju hubungan Asean-Korea untuk dekad akan datang.

Korea Selatan kini adalah rakan dagang ketujuh terbesar Asean dengan jumlah dagangan bernilai US$135 bilion (RM472.5 bilion), dan secara kolektifnya ASEAN ialah rakan dagang kedua terbesar Korea.

Sejak tiga tahun lalu, pelaburan Korea di rantau ini mencecah US$7 bilion (RM24.5 bilion). Korea kini adalah sumber pelaburan asing kelima terbesar ASEAN, dan ASEAN pula ialah destinasi pelaburan ketiga terbesar ASEAN.

Perdana Menteri juga berharap Korea Selatan dapat memacu arah ASEAN dan memimpin kumpulan itu dalam menyediakan sokongan bermakna kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ini.

Korea katanya menunjukkan pada dunia bahawa transformasi ekonomi merupakan perjalanan yang berterusan, dan menggerakkan model pertumbuhan yang dipacu oleh syarikat besar selain menggalakkan penyertaan PKS.

“Antara kebimbangan utama negara ASEAN ialah impak liberalisasi ke atas PKS negara menyumbang lebih daripada 95 peratus perusahaan negara.

“Oleh itu kita mesti memastikan entiti ini dimasukkan dalam rangkaian bekalan dan nilai, mereka juga mesti memperoleh manfaat daripada integrasi ekonomi yang diperkukuh ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 8:27 AM