RCEP diharap perkukuh integrasi ekonomi menerusi pembukaan pasaran, pertambahan pelaburan dan peningkatan fasilitasi perdagangan.
RCEP diharap perkukuh integrasi ekonomi menerusi pembukaan pasaran, pertambahan pelaburan dan peningkatan fasilitasi perdagangan.
Sri Ayu Kartika Amri


PERJANJIAN Perkongsian Komprehensif Ekonomi Serantau (RCEP) membuktikan bahawa Malaysia berserta negara Asean dan lima rakan menerusi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) akan terus memperkukuhkan integrasi ekonomi, memudah cara perdagangan dan pelaburan rentas sempadan serta mengurangkan halangan bukan tarif.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perjanjian RCEP yang dimeterai baru-baru ini adalah FTA terbesar merangkumi 2.2 bilion atau hampir satu pertiga (29.7 peratus) penduduk dunia.

Beliau berkata, ia menyumbang sebanyak AS$24.8 trilion atau hampir satu pertiga (28.9 peratus) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, berdasarkan data Bank Dunia pada 2018.

"RCEP dapat menyegerakan proses pemulihan ekonomi serantau dan negara kita pasca Covid-19 menerusi pembukaan pasaran, pertambahan pelaburan, peningkatan fasilitasi perdagangan termasuk integrasi industri khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke dalam rantaian nilai serantau," katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, di sebalik segala cabaran dan ketidaktentuan ekonomi global yang dicetuskan oleh penularan Covid-19, segala usaha serta perancangan rapi kerajaan untuk membina semula dan mencerdaskan ekonomi negara sudah menampakkan hasil.

"Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporannya, menyatakan KDNK benar pada suku ketiga 2020 mencatatkan kemerosotan sebanyak 2.7 peratus.

"Penguncupan kadar KDNK yang jauh lebih kecil pada suku ketiga 2020 berbanding suku kedua 2020 iaitu -17.1 peratus mencerminkan kegiatan ekonomi yang semakin meningkat dan berkembang," katanya.

Mohamed Azmin berkata, pemulihan ekonomi negara adalah hasil daripada tindakan bertanggungjawab kerajaan melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi iaitu Prihatin, Prihatin PKS Tambahan, Penjana dan Kita Prihatin dengan jumlah RM305 bilion.

Pembukaan sektor ekonomi serta permintaan luaran yang meningkat juga telah membantu merancakkan semula aktiviti perniagaan dan pelaburan.

"Kita mahu jadikan 2021 sebagai tahun yang menjanjikan kemakmuran, keamanan serta kesatuan rakyat dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2021 @ 9:00 AM