KEADAAN Lamborghini yang rentung, semalam.
KEADAAN Lamborghini yang rentung, semalam.

Batu Pahat: Sebuah kereta mewah jenis Lamborghini bernilai RM1.2 juta rentung selepas terbakar di Kilometer 113.8 Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran Yong Peng di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.42 petang, lelaki yang memandu kereta itu bersama seorang penumpang dipercayai wanita terselamat selepas keluar dari kereta sebaik menyedari kenderaan dinaiki terbakar.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng Ibnul Kassim Abd Rahman berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian pada jam 4.04 petang selepas menerima panggilan kecemasan.

“Satu jentera dengan enam anggota bomba ke tempat kejadian dan mengambil masa 10 minit memadamkan api.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kereta itu terbakar,”katanya.

Menurutnya, siasatan dan pemeriksaan awal mendapati kereta itu terbakar ketika bergerak.

“Kebakaran itu menyebabkan pemilik kenderaan terbabit kerugian sebanyak RM1.2 juta berdasarkan nilai kereta.

“Operasi memadam kebakaran tamat pada jam 4.15 petang dan kereta itu terbakar sepenuhnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Disember 2014 @ 8:51 AM