BOMBA memadam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memadam kebakaran. FOTO Ihsan Bomba
Ibrahim Isa


PEMANDU rentung apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya melanggar sebuah lori lalu terbakar di Kilometer 137.5 Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, dekat Muar, hari ini.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Ibnul Kasim Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.22 pagi.

Beliau berkata, susulan itu, lapan anggota membabitkan satu jentera dan satu kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan di tempat kejadian.

Katanya, pihaknya turut menerima bantuan enam anggota dan satu jentera dari BBP Pagoh.

“Apabila tiba, kami dapati kebakaran sebuah yang terbakar 90 peratus akibat melanggar sebuah lori.

“Kami dapati, kedua-dua kenderaan dari arah selatan ke utara sebelum kemalangan berlaku.

“Ketika cuba memadamkan api kami dapati seorang pemandu MPV tidak sempat menyelamatkan diri dan rentung di dalam kenderaan itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di tempat kejadian.

Katanya, identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

“Pemandu lori berusia 32 tahun dalam keadaan selamat dan kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya yang menamatkan operasi jam 6.59 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 8:24 AM