Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kakitangan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dan dua pengarah sebuah syarikat direman seminggu berhubung kes rasuah berjumlah RM400,000 dalam hal kelulusan permohonan memiliki tanah kerajaan di daerah Kinta, di sini.

Ketiga-tiga mereka iaitu seorang wanita yang berkhidmat sebagai pembantu tadbir di PTG berusia 30 tahun dan dua lelaki yang masing-masing pengarah syarikat berumur 41 dan 50 tahun direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 20 September ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ipoh, Noor Hafiza Ishak selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak bagi membantu siasatan.

PEMBANTU tadbir di PTG direman seminggu untuk membantu siasatan. FOTO L Manimaran
PEMBANTU tadbir di PTG direman seminggu untuk membantu siasatan. FOTO L Manimaran

V

Mereka tiba jam 10.30 pagi tadi di Mahkamah Majistret Ipoh dengan mengenakan baju lokap SPRM dan menaiki dua kenderaan berasingan.

Penahanan dilakukan selepas ketiga-tiganya disyaki menerima wang rasuah berjumlah RM400,000 daripada seorang pemilik syarikat supaya mendapatkan kelulusan permohonan memiliki tanah kerajaan seluas 2.2 hektar.

Penahanan dibuat di Pejabat SPRM Perak, Meru Raya, di sini antara jam 6.15 hingga 6.25 petang semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad ketika dihubungi berkata, siasatan lanjut diteruskan termasuk bagi mengesan jika terdapat pembabitan individu lain dalam kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 12:44 PM