MAYAT Amirul Mukminin ditemui pada jam 7.50 pagi tadi oleh anggota PPDA. FOTO ihsan bomba
MAYAT Amirul Mukminin ditemui pada jam 7.50 pagi tadi oleh anggota PPDA. FOTO ihsan bomba
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Mayat remaja yang dikhuatiri lemas selepas mandi di Sungai Kelantan dekat Kampung Banggol, di sini, ditemukan pagi tadi.

Mayat Amirul Mukminin Mohd Izuha, 15, ditemukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan operasi mencari dan menyelamat pada jam 7.50 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd Suhaimi Ali berkata, mayat remaja itu ditemui kira-kira tiga meter di lokasi kali terakhir mangsa dilihat tenggelam.

"Mayat dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk proses bedah siasat.

"Dengan penemuan itu, secara rasminya operasi mencari dan menyelamat ditutup," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Suhaimi menasihati orang ramai agar tidak menjalankan aktiviti di tepi sungai, laut atau pantai memandangkan sekarang masih dalam tempoh musim tengkujuh bagi mengelakkan tragedi yang sama berulang.

Dalam kejadian pada jam 6 petang semalam, mangsa ke lokasi bersendirian sebelum menyertai tiga lagi rakannya yang sedang mandi di sungai berkenaan.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra (SMIP), di sini, itu dikatakan berjalan perlahan-lahan masuk ke dalam sungai sebelum tiba-tiba tenggelam dan gagal diselamatkan rakan serta penduduk kampung.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafie berkata, anggotanya memulakan operasi pada jam 7.45 pagi tadi.

"Anggota PPDA menjalankan pencarian di dasar sungai kira-kira enam meter dari tebing.

"Lima minit kemudian, mayat ditemukan terlekat di dasar sungai yang berselut," katanya.

Berita berkaitan

'Masih terngiang-ngiang suara Miyo panggil nama saya' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 10:32 AM