Kuala Lumpur: Pelakon veteran Datuk Mustapha Maarof, 79, yang mengalami masalah paru-paru kini kritikal di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Wangsa Maju, di sini.

Terdahulu, beliau dimasukkan ke Institut Respiratori, Jalan Pahang, di sini, pada 25 November lalu apabila mengadu sesak nafas sebelum dipindahkan ke HATTM kelmarin.

Rakan baiknya, penerbit filem N Panchacharam, 60, atau Pansha berkata, keadaan kesihatan Mustapha semakin merosot berbanding sebelumnya.

“Saya dihubungi anaknya, Rezainuddin yang memaklumkan keadaan terkini bapanya dan segera menziarahi beliau kira-kira jam 1 tengah hari tadi (semalam).

“Dia (Mustapha) dalam keadaan tidak sedarkan diri serta menggunakan mesin bantuan pernafasan.

“Saya difahamkan paru-paru kanannya sudah rosak, manakala paru-paru kiri pula dijangkiti kuman. Doktor sukar untuk lakukan pembedahan kerana usianya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Pansha, pelakon popular era Studio Cathay Keris di Singapura itu rajin menghubunginya dan sering berbual mengenai dunia perfileman tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 9:16 AM