RAWATAN terbaru gabungkan manfaat daripada dua kelas bronkodilator.
RAWATAN terbaru gabungkan manfaat daripada dua kelas bronkodilator.
ABDUL Razak bersama Beeh dan Dinboeck (kanan) ketika pelancaran Ultibro Breezhaler, baru-baru ini.
ABDUL Razak bersama Beeh dan Dinboeck (kanan) ketika pelancaran Ultibro Breezhaler, baru-baru ini.
Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Melalui Kajian Perokok Dewasa Global (GATS) 2011, lebih 43 peratus lelaki di Malaysia adalah perokok manakala 2.3 juta hingga 7.6 juta orang dewasa terdedah pada asap rokok di tempat kerja dan di rumah. Asap rokok, sama ada daripada pengunaan tembakau atau daripada orang yang merokok, adalah penyebab utama sekatan pulmonari kronik (COPD).

COPD juga menjejaskan kesihatan 210 juta orang di seluruh dunia dan dijangka menjadi punca keempat kematian di dunia menjelang 2030.

Di Malaysia, kelaziman orang dewasa yang berusia 30 tahun ke atas menghidapi COPD jenis sederhana hingga teruk dianggarkan kira-kira 4.55 peratus.

Perunding Perubatan Respiratori, Datuk Dr Abdul Razak Muttalif berkata, penghidap COPD menjejaskan aktiviti harian mereka seperti menaiki tangga atau memakai baju apabila keadaan penyakit beransur menjadi lebih teruk.

“Walaupun COPD tidak dapat disembuhkan, rawatan dapat membantu pesakit menguruskan simptom yang melumpuhkan, sekali gus mengurangkan kesan terhadap kualiti hidup mereka.

“Oleh itu, diagnosis dan intervensi awal adalah penting untuk mengurangkan kemerosotan dalam fungsi paru-paru serta meningkatkan tahap kesihatan pesakit,” katanya ketika melancarkan rawatan terkini untuk COPD Ultibro Breezhaler di ibu negara, baru-baru ini.

Ultibro Breezhaler ialah alternatif tanpa steroid dalam terapi COPD. Ia pendekatan yang konsisten dengan panduan Inisiatif Global untuk Penyakit Kronik Paru-Paru Kronik 2014.

Ultibro Breezhaler dijangka menetapkan standard baru dalam rawatan COPD kerana ia menggabungkan keberkesanan dan manfaat daripada dua kelas bronkodilator - agonis beta yang bertindak lama (long-acting beta agonist; LABA) dan antagonis muskarinik yang bertindak lama (long-acting muscarinic antagonist; LAMA) dalam satu rawatan. LAMA dan LABA disyorkan sebagai rawatan penyelenggaran barisan pertama dalam panduan rawatan.

Ia mengandungi bahan aktif indacaterol (110 mcg) dan glycopyrronium (50 mcg), yang membantu menghalang pengecilan laluan udara dan melegakan otot pada dinding saluran udara kecil dalam paru-paru. Ini membantu membuka saluran pernafasan, menjadikan udara lebih mudah untuk keluar dan masuk ke dalam paru-paru.

Pengarah Perubatan, Institut Penyelidikan Respiratori, Jerman, Dr Kai Michael Beeh pula menjelaskan, matlamat utama rawatan COPD adalah mengurangkan simptom penyakit ini yang boleh melumpuhkan pesakit.

“Walaupun terdapat rawatan yang dapat me­ngurangkan simptom COPD atau serangan yang kembali, pesakit sering mengalami tahap kesihatan yang semakin merosot apabila keadaan mereka menjadi semakin serius.

“Ramai pesakit menderita dengan simptom yang berterusan walaupun terdapatnya terapi perubatan dan ini membawa kepada keperluan untuk kawalan penyakit yang lebih baik,” katanya

COPD adalah penyakit paru-paru kronik yang menyebabkan sekatan pada saluran pernafasan, yang mampu menjejaskan fungsi dan kualiti kehidupan seseorang pesakit.

Antara simptom utama COPD ialah nafas tercungap-cungap, pengeluaran kahak yang tidak normal (campuran air liur dan mukus di dalam saluran pernafasan) dan batuk yang kronik.

Walaupun COPD sering dianggap sebagai penyakit pada usia tua, anggaran menunjukkan bahawa 50 peratus penghidap COPD kini berusia kurang daripada 65 tahun, menyebabkan peningkatan dalam ketidakhadiran di tempat kerja, persaraan awal dan kurang pembabitan dalam tenaga kerja.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Urusan, Novartis Malaysia, Michaela Dinboeck berkata, Ultibro Breezhaler mengukuhkan portfolio COPD Novartis yang inovatif dalam menyediakan rangkaian pilihan rawatan untuk membantu pakar perubatan menemui ubat untuk pesakit yang betul, pada masa yang tepat dalam perkembangan penyakit mereka.

“Novartis Malaysia berbesar hati kerana dapat menyediakan Ultibro Breezhaler untuk pesakit dewasa di Malaysia agar mereka dapat melegakan simptom COPD yang dialami.

“Ramai pesakit COPD kini akan mempunyai satu pilihan rawatan terkini, dengan keberkesanan dan keselamatan yang terbukti, bagi membantu mening­katkan dan mendapatkan kembali kualiti hidup mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2015 @ 5:01 AM