Seremban: “Tragedi kemalangan mengakibatkan adik patah pinggang dan memerlukan darah menyebabkan saya mulai aktif menderma,” kata penyelia syarikat pembersihan Zainuddin Zainal, 54, yang ditemui pada program Menderma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan di Balai Raya Taman Desa Temiang, di sini, semalam.

Zainuddin berkata, masih ramai masyarakat kurang kesedaran berbuat demikian kerana tidak menyedari sumbangan itu membantu insan memerlukan.

Katanya, kesedaran untuk menderma darah tercetus apabila adiknya, Zaharin, 50, terbabit dalam kemalangan pada 1980 apabila dilanggar kereta sewaktu menunggang motosikal.

“Pada masa itu, adik patah pinggang dan kehilangan darah. Doktor memberitahu memerlukan darah sedangkan kekurangan stok menampungnya,” katanya yang ditemui selepas menderma darah di program berkenaan.

Menurutnya, dia buat pertama kali menyumbangkan darahnya kepada Zaharin yang kebetulan mempunyai darah jenis sama.

“Selepas itu, keinginan menderma membuak-buak dan sehingga kini, sudah 60 kali saya melakukan kerja amal itu,” katanya.

Zainuddin berkata, untuk memastikan sumbangan itu berterusan, setiap dua bulan sekali dia datang ke hospital untuk menderma darah.

Pengerusi Rukun Tetangga Taman Desa Temiang S Krishnan berkata, 63 individu datang menderma darah tahun lalu dan an menyasarkan 100 penderma kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:12 AM