YAN 20 DiSEMBER 2019. Zainuddin Ahmad melihat liang yang siap digali untuk persiapan mengebumikan jenazah lima bersaudara yang meninggal dalam kemalangan di Kuala Kubu Baru.STR/ZULIATY ZULKIFFLI
YAN 20 DiSEMBER 2019. Zainuddin Ahmad melihat liang yang siap digali untuk persiapan mengebumikan jenazah lima bersaudara yang meninggal dalam kemalangan di Kuala Kubu Baru.STR/ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA sangat sayu dan sedih apabila dimaklumkan kelima-lima jenazah yang meninggal itu adalah saudara sendiri.

“Jenazah mereka akan dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ruat, Yan, malam ini juga,” kata Zainuddin Ahmad, 57.

Zainuddin berkata, dia bersama beberapa penduduk kemudian melakukan kerja menggali lubang kubur menggunakan jentolak bermula jam 10 pagi tadi.

“Kami menggali kubur ini lebih satu jam selepas dimaklumkan kesemua lima jenazah akan dikebumikan dalam satu liang di sini.

“Rasa sayu ada kerana semuanya ahli keluarga saya yang meninggal, namun saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Masjid Kampung Ruat di Yan, hari ini.

Terdahulu jemaah masjid kampung itu mengadakan tahlil untuk kesemua arwah yang dihadiri lebih 100 jemaah kampung itu selepas selesai solat Jumaat hari ini.

Dalam kejadian awal pagi tadi, kereta Perodua Myvi dinaiki lima mangsa yang maut dalam kemalangan di Kilometer 427.5 Lebuhraya Utara Selatan, di Kuala Kubu Bharu, hari ini, berkonvoi bersama dua lagi kenderaan.

Dalam kejadian 4 pagi itu, pemandu kereta Perodua Myvi, Mohamad Rodzi Abdul Kadir, 52, serta empat penumpang kenderaan itu iaitu Jamilah Jalim @Jamil, 47, Bashirah Jalim@Jamil, 49, Nur Intan Mohamad Rodzi, 18, dan Nur Shifa Abdul Rashid, 17, disahkan meninggal dunia di lokasi.

Zainuddin berkata, dia menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada adik kepada dua mangsa itu, Jamaludin Jalim pada 8.30 pagi tadi berkenaan kemalangan yang mengorbankan lima ahli keluarganya itu.

Zainuddin berkata, walaupun sudah lama tidak bertemu dua beradik itu, Jamilah dan Bashirah, dia sedih dengan apa yang berlaku.

Katanya, Jamilah mengusahakan kedai makan di kampung ini manakala kakaknya, Bashirah menetap di Sungai Petani.

“Saya dimaklumkan jenazah dijangka akan dikebumi 9.30 malam ini selepas solat jenazah di Masjid Kampung Ruat,” katanya.

Berita berkaitan

Tragedi konvoi ke kenduri aqiqah

Lima maut nahas dua kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Disember 2019 @ 3:39 PM