RAKAMAN CCTV menunjukkan penjaga kaunter menarik tangan pencuri yang cuba mencuri tabung derma.
RAKAMAN CCTV menunjukkan penjaga kaunter menarik tangan pencuri yang cuba mencuri tabung derma.

Shah Alam: Seorang pencuri berlagak sopan apabila meminta izin terlebih dulu daripada seorang penjaga kedai runcit sebelum melarikan dua tabung yang diletakkan di kaunter premis terbabit di Jalan Tukul Seksyen 15 di sini, Selasa lalu.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an itu sempat melarikan diri bersama rakannya yang menunggu di luar premis.

Suspek dikesan cuba melarikan dua tabung derma bagi rakyat Palestin yang diletakkan di premis berkenaan.

Pengurus kedai itu, Mohd Hazwan Jaludin, 26, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas terdengar jeritan adiknya yang menjaga kaunter pembayaran.

Menurutnya, dia kemudian segera berlari mengejar suspek, namun tidak berjaya apabila penjenayah sempat melarikan diri menaiki sebuah kereta model Perodua Viva.

“Adik saya memberitahu penjenayah sebelum itu meluru ke kaunter dan berkata, ‘saya ambil tabung ya’.

“Bagaimanapun adik saya cuba menghalang sebelum berlaku insiden tarik menarik. Bagaimanapun penjenayah yang berbadan besar itu berjaya merampas tabung itu,” katanya.

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pasang di premisnya mendapati lelaki terbabit sudah memerhatikan kedainya untuk tempoh masa agak lama.

“Ini insiden kali kedua berlaku dalam tempoh tiga bulan. Susulan itu saya menasihati pekerja supaya berhati-hati.

“Kes sama turut berlaku di cawangan premis ini di Klang dan USJ dipercayai dilakukan oleh penjenayah sama,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9 di sini, untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:09 AM