KEADAAN bahagian dalam restoran milik mangsa yang dipecah masuk penjenayah.
KEADAAN bahagian dalam restoran milik mangsa yang dipecah masuk penjenayah.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Rawang: "Sedih apabila mendapati restoran saya dipecah masuk. Lebih menyedihkan apabila lima tabung derma untuk surau, masjid dan tahfiz turut dilarikan penjenayah," ujar pemilik restoran, Mat Salim Shaari, 59.

Dalam kejadian pecah masuk premis tengah malam semalam, sekurang-kurangnya tiga kedai di sekitar kawasan Taman M. Residensi di sini, turut dicerobohi penjenayah.

Salim berkata, kejadian hanya disedari jam 7.10 pagi semalam apabila dia mendapati pintu hadapan premis dalam keadaan renggang manakala mangga kunci turut dikopak.

"Sebaik pemeriksaan dilakukan, saya terkejut apabila mendapati bahagian dalam kedai dalam keadaan berselerak.

"Lima silinder dan kotak derma diletakkan di atas kaunter bayaran hilang dilarikan penjenayah. Saya yakin terdapat beribu ringgit wang didermakan orang ramai yang berkunjung di restoran saya," katanya.

Menurutnya, bekas berisi duit syiling dianggarkan berjumlah RM300 selain wang tunai berjumlah RM250 turut hilang.

"Penjenayah turut didapati menyelongkar bahagian surau dan stor di dalam premis selain turut melarikan alat gerudi dan alat pertukangan.

"Ini kali pertama restoran saya dipecah masuk sejak premis ini beroperasi sejak hampir dua tahun lalu," katanya yang sudah membuat laporan polis di Balai Polis Rawang, Gombak.

Dia berkata, suspek sama turut dipercayai bertanggungjawab memecah masuk dua lagi premis berdekatan kedainya menggunakan kaedah sama.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terdapat dua lelaki menunggang motosikal berkeliaran di kawasan ini sebelum kejadian.," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 11:57 AM