Mohd Ruzaini Zulkepli

Putatan: Lima penjenayah bertopeng yang dipercayai bersenjatakan senjata tajam meletupkan dua mesin juruwang automatik (ATM) bank sebelum melarikan dua peti besi mengandungi sejumlah wang tunai di Putatan Plaza, dekat sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 4.20 pagi, lima penjenayah terbabit dikatakan membawa keluar dua peti besi berkenaan sebelum meloloskan diri dari lokasi itu menggunakan kenderaan dipercayai Perodua Viva.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Salehhudin Abd Rahman yang ditemui di tempat kejadian berkata, polis tidak menolak kemungkinan kumpulan suspek itu adalah kumpulan yang sama melakukan rompakan mesin ATM di daerah Membakut pada 11 April lalu.

"Berdasarkan maklumat awal, kejadian ini berlaku pada 4.20 pagi, membabitkan dua mesin ATM yang diletupkan oleh lima penjenayah bertopeng dan mereka juga sempat melarikan sejumlah wang.

"Kumpulan suspek ini turut difahamkan menggunakan senjata tajam dengan seorang suspek mengacukan pisau kepada pengawal keselamatan untuk menakutkan mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian," katanya.

Sehubungan itu, polis sudah menubuhkan satu pasukan khas untuk menjalankan pemeriksaan dan pihaknya turut akan menjalankan Op Tutup di daerah berhampiran bagi mengesan suspek yang terbabit.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 11:03 AM
ANGGOTA polis forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
ANGGOTA polis forensik menjalankan siasatan di tempat kejadian. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli