KERETA Nissan Almera yang membawa daun ketum rosak teruk selepas terbabit kemalangan dengan Perodua Viva. FOTO Ihsan PDRM
KERETA Nissan Almera yang membawa daun ketum rosak teruk selepas terbabit kemalangan dengan Perodua Viva. FOTO Ihsan PDRM
Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Tindakan seorang lelaki melarikan diri selepas kemalangan membongkarkan kegiatannya terbabit dalam aktiviti pengedaran daun ketum.

Kemalangan membabitkan kereta Nissan Almera dan Perodua Viva itu berlaku berhampiran stesen minyak di Kampung Chedok, Bukit Bunga, Tanah Merah, jam 8.25 pagi, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan dua kenderaan.

Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta Nissan Almera berusia 20-an dari arah Jeli ke Tanah Merah, dilaporkan melarikan diri ke dalam semak berhampiran selepas merempuh kereta Perodua Viva.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek, polis menemui 50 bungkusan berisi daun ketum seberat 500 kilogram (kg) bernilai RM5,000 dipercayai untuk pasaran tempatan.

"Berdasarkan jumlah daun ketum itu, kami percaya suspek adalah pengedar barangan terlarang itu," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Muhamad Zaki berkata, pasukan narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah kemudian menyerbu rumah suspek di Kampung Air Meroh, Jedok di Tanah Merah, mengikut alamat pendaftaran kereta yang dipandu suspek.

"Namun, suspek tiada di rumah, dan hasil temubual dengan abangnya yang juga penama kenderaan berkenaan, menjelaskan kereta sudah dijual kepada adiknya (suspek) yang kini berada di Pasir Gudang, Johor.

"Penama juga menjelaskan dia tidak tahu jika kereta dijual sudah kepada individu lain selain tiada sebarang dokumen jual beli dikemukakan sebagai bukti," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan risikan sedang dilakukan untuk mengesan suspek.

"Jadi, saya menasihatkan orang ramai yang terbabit dalam aktiviti jual beli kereta mengikut prosedur ditetapkan kerana penama akan menanggung risiko jika kenderaan masih menggunakan nama mereka dijadikan pengangkutan untuk melakukan jenayah.

"Malah, golongan penjenayah juga biasanya mensasarkan kereta sebegini untuk digunakan bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 2:01 PM