Bestari Jaya: Tokoh wartawan, Allahyarham Zainon Ahmad dianugerahkan Ijazah Anumerta Doktor Kehormat oleh Universiti Selangor (UNISEL) sempena Istiadat Konvokesyen ke-9 universti itu, semalam.

Allahyarham Zainon atau lebih mesra dengan panggilan Pak Non yang juga bekas Penolong Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) dipilih menerima anugerah itu sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam bidang kewartawanan.

Anaknya, Zalinda Zainon, 48, berkata, Ijazah Anumerta Doktor Kehormat itu adalah impian bapanya beberapa bulan sebelum meninggal dunia.

“Saya berterima kasih kepada UNISEL kerana memilih arwah bapa untuk menerima Ijazah Anumerta Doktor Kehormat sebagai menghargai jasanya dalam bidang kewartawanan.

“Jika beliau masih ada, sudah tentu ia perkara yang membanggakan kerana dapat menerima sendiri gelaran ini. Jasa dan pengorbanannya dalam bidang kewartawanan diharap dapat memberi inspirasi kepada wartawan generasi baru,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, bagi penerima Ijazah Canselor, Muhammad Faiz Mat Zauki, 24, kegigihan dan kesabaran untuk mencapai kejayaan adalah kunci utama yang diamalkannya sepanjang tiga tahun mengikuti program ijazah di UNISEL.

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Seni Reka Grafik Digital Sains Komputer itu berkata, generasi muda yang mahu menyambung pengajian perlu mengetahui minat dan kecenderungan mereka dalam sesuatu bidang.

“Jika kita tahu apa yang kita minat, kita akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kita berjaya. Tumpuan dalam kelas selain perkongsian ilmu dan idea bersama tenaga pengajar dan rakan sekuliah adalah tip yang saya amalkan.

“Saya bersyukur kerana apa yang diperoleh hari ini adalah hasil suka duka yang perlu ditempuh sepanjang pengajian dan ini secara tidak langsung adalah hadiah untuk ibu bapa dan keluarga,” katanya yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.80.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:09 AM