Azizul (kiri) menerima watikah pelantikan Karyawan Tamu Utama daripada Dr Mazlan di UMT hari ini. FOTO Malik Muhamad
Azizul (kiri) menerima watikah pelantikan Karyawan Tamu Utama daripada Dr Mazlan di UMT hari ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Jaguh basikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang melakar sejarah dalam dunia pendidikan negara apabila dianugerahkan Karyawan Tamu Utama yang disampaikan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Pemenang pingat perak dalam acara keirin pada temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo pada 8 Ogos lalu turut menerima Anugerah Ijazah Kehormat UMT selain Anugerah Khas Biasiswa Tuanku Canselor.

Atlet kelahiran Dungun yang lebih dikenali sebagai 'The Pocket Rocketman' adalah individu pertama dalam bidang sukan dan kedua dalam negara dilantik sebagai Karyawan Tamu Utama UMT selepas penyanyi tersohor negara, Fauziah Latiff pada 2015.

"Ribuan terima kasih kepada Naib Canselor UMT, Profesor Dr Mazlan Abd Ghaffar atas anugerah Karyawan Tamu Utama pada hari ini yang saya diberitahu anugerah tertinggi, saya juga begitu teruja apabila dimaklumkan dianugerahkan Ijazah Kehormat UMT yang akan disampaikan selepas ini, anugerah berkenaan salah satu pencapaian besar juga dalam hidup saya selain dalam sukan berbasikal.

"Saya juga ditawarkan biasiswa untuk menyambung ijazah doktor falsafah (PhD) nanti, sudah tentu memberi peluang kepada saya menyambung pengajian selain membantu program yang akan dibangunkan di UMT, tapi buat masa ini saya mahu fokus kepada karier dalam sukan terutama temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris terlebih dahulu selepas itu baharulah saya fikir perancangan seterusnya," kata Jijoe ketika ditemui selepas menerima anugerah itu hari ini.

Terdahulu beliau menjayakan Program Webinar Osweb khas di Studio UMT hampir satu jam.

Mengulas lanjut, pelumba berusia 33 tahun itu mengakui ada menerima tawaran menyambung pengajian di beberapa pusat pengajian, namun belum membuat keputusan lagi.

"Secara rasminya setakat ini UMT yang menawarkan untuk menyambung pengajian, tapi secara tidak rasmi ada juga pusat pengajian lain yang menghubungi saya menawarkan kepada saya menyambung pengajian, tapi mungkin saya lebih berminat dengan UMT lagipun di negeri kelahiran saya," katanya.

Sementara itu Dr Mazlan berkata, anugerah Karyawan Tamu Utama melalui Pusat Pembangunan Holistik dan Kokurikulum, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni adalah julung kali diberikan kepada atlet.

"UMT turut menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat UMT bagi menghargai jasa dan pengorbanannya kepada negara dan Terengganu dalam sukan selain anugerah berprestij iaitu biasiswa Tuanku Canselor UMT bernilai keseluruhan RM72,000 sepanjang tiga tahun pengajian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 6:42 PM