DR BUKHORI Ismail.
DR BUKHORI Ismail.
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Mantan Dekan Kajian Sebaran Am, Institut Teknologi MARA (1990-1994), Dr Bukhori Ismail meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital UiTM Puncak Alam, petang semalam.

Bukhori, 76, meninggal dunia pada 3.38 petang.

Mantan profesor itu juga pernah menjadi Pengarah Kampus UiTM Cawangan Arau pada 1995, sebelum bersara pada 2002.

Anak kelahiran Yan, Kedah itu mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Ibrahim, Sungai Petani, sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Padjajaran, Bandung pada 1974 dalam bidang kewartawanan.

Beliau kemudian mendapat Sarjana Kewartawanan dari Michigan State University pada 1979 dan ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Ohio, Amerika Syarikat, pada 1998.

Bukhori mula menyertai ITM dalam Kajian Sebaran Am pada 1974.

Beliau menghasilkan banyak penulisan ilmiah di samping menyumbang artikel di akhbar.

Antara buku terjemahan beliau ialah Sistem Media Massa Satu Perbandingan, Media Performance in Malaysia, 1990 General Election dan Kamus Komunikasi.

Sementara itu, salah seorang anak Allahyarham memaklumkan, jenazah bapanya diuruskan di Surau Seksyen 11 di sini, dan dijangka dikebumikan kira-kira 10 pagi ini di Tanah Perkuburan Seksyen 21, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 9:17 AM