CANSELOR Unisel, Raja Tan Sri Arshad AlHaj Raja Tun Uda Alhaj menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik kepada Makio ketika Majlis Istiadat Konvokesyen Unisel ke-13. Turut hadir Professor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman (kiri). FOTO Roslin Mat Tahir
CANSELOR Unisel, Raja Tan Sri Arshad AlHaj Raja Tun Uda Alhaj menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik kepada Makio ketika Majlis Istiadat Konvokesyen Unisel ke-13. Turut hadir Professor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman (kiri). FOTO Roslin Mat Tahir
Norzamira Che Noh

KERAJAAN Jepun serta kementerian yang terbabit dengan pendidikan memandang serius cadangan untuk mana-mana universiti dari negara itu membuka cawangan di Malaysia.

Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa berkata, ia susulan permintaan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed kepada rakan sejawatannya, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dalam lawatan rasminya sebelum ini supaya ada universiti dari negara matahari terbit itu membuka cawangannya di Malaysia.

Dr Makio berkata, universiti di negaranya sememangnya memberi sumbangan kepada akademik di Jepun namun ia tidak pernah membuka cawangan di luar negara itu.

“Jika mana-mana universiti di Jepun, seperti yang diminta Tun Dr Mahathir, membuka cawangan di Malaysia, ia adalah kali pertama universiti di Jepun berbuat demikian.

“Kerajaan kami dan kementerian yang terbabit sangat serius untuk membuka cawangan universiti dari Jepun dan saya berharap cawangan itu akan dibina di Malaysia,” katanya ditemui pada Istiadat Konvokesyen UNISEL kali-13 di kampus Bestari Jaya, hari ini.

Pada istiadat berkenaan Dr Makio dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik.

Ditanya mengenai hubungan kerjasama antara universiti di Jepun dengan Universiti Selangor (UNISEL), Dr Makio berkata, kedua-dua pihak perlu berusaha membincangkan perkara itu.

“Kita perlu cuba membincangkan perkara ini dengan UNISEL atau mana-mana universiti lain dan kemungkinan masih terbuka dan saya berharap perbincangan positif pada masa depan,” katanya.

UNISEL antara universiti tempatan yang pernah melaksanakan kerjasama dengan universiti dari negara itu melalui Program Ijazah Bersekutu Jepun (JAD) antara 2005 hingga 2015 membabitkan seramai 466 pelajar.

Pada masa sama, Dr Makio berkata, beliau terharu dan kagum dengan istiadat konvokesyen itu selain berterima kasih dengan anugerah Ijazah Kehormat yang diberikan UNISEL kepadanya.

“Ia adalah satu penghormatan kepada saya, isteri dan keluarga dan ini pertama kali saya menerima anugerah sedemikian.

“Selain itu, penganugerahan ini juga sebagai tanda penghargaan UNISEL terhadap sumbangan kecil saya dalam akademik serta sumbangan hubungan antara Jepun dan Malaysia terutama antara Jepun dan Selangor,” katanya.

Dr Makio yang menjadi Duta Besar Jepun ke negara ini sejak 2014 adalah graduan dalam bidang kejuruteraan kapal angkasa dan aeronautikal dari Universiti Tokyo serta melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dari University of Oxford, United Kingdom.

Beliau yang pernah terbabit dalam penghasilan buku ‘Do Economic Sactions Work?’ dan ‘Keizai Saisai’ sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Pengarah Bahagian Amerika Syarikat dan Rusia, Timbalan Pengarah Bahagian Rusia, Pengarah Bahagian Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Pembangunan Ekonomi serta Pengarah Bahagian Dasar Serantau.

Pada 2007, beliau menjadi duta yang mewakili Jepun di Geneva.

Seramai 2,683 graduan bergraduasi pada Istiadat Konvokesyen UNISEL Ke-13 kali ini membabitkan 1,071 graduan peringkat Diploma, 1,576 graduan peringkat Ijazah Sarjana Muda, 23 graduan peringkat Ijazah Sarjana serta 13 graduan peringkat Doktor Falsafah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 8:56 PM