Wafi Rizqi Yang lengkap berpakaian Jalur Gemilang dikelilingi ibunya, Nur Zahidah (kanan), nenek dan datuknya, Norhayati dan Mohd Zauki serta, ibu saudaranya Nur Zulaikha (kiri) di rumah mereka di Kampung Bukit Agu, Batu Rakit. FOTO ZAID SALIM
Wafi Rizqi Yang lengkap berpakaian Jalur Gemilang dikelilingi ibunya, Nur Zahidah (kanan), nenek dan datuknya, Norhayati dan Mohd Zauki serta, ibu saudaranya Nur Zulaikha (kiri) di rumah mereka di Kampung Bukit Agu, Batu Rakit. FOTO ZAID SALIM
Oleh Zaid Salim


Kuala Nerus: Mahu semangat pejuang terdahulu berada dalam diri cucu merdekanya.

Itu harapan Mohd Zauki Abdullah, 51, datuk kepada Muhammad Wafi Rizqi Muhammad Nurun Najmi menyambut hari kelahiran pertama pada 31 Ogos, kelmarin

Dia bersyukur dikurniakan cucu merdeka dan berharap semangat kemerdekaan dan darah pejuang terdahulu menyerap dalam tubuh bayi berkenaan.

"Ini rezeki daripada Allah mengurniakan keluarga saya seorang cucu yang lahir sama dengan Hari Kebangsaan negara kita," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Agu, Batu Rakit, di sini, semalam.

Ibu bayi berkenaan, Nur Zahidah Mohd Zauki, 22, tidak menyangka melahirkan anak pertama pada jam 2.54 pagi pada tanggal 31 Ogos tahun lalu.

"Mengikut jangkaan doktor, saya sepatutnya bersalin pada 16 September, namun rezeki Allah, saya bersalin 15 hari lebih awal dari tarikh yang dijangkakan," katanya.

Ketika dimaklumkan doktor tarikh sepatutnya bersalin, dia gembira kerana tarikh itu bersamaan dengan sambutan Hari Malaysia.

"Namun, rezeki saya bersalin pada Hari Kebangsaan negara. Saya gembira kerana tidak menyangka dikurniakan anak merdeka," katanya.

Sementara itu, nenek bayi berkenaan, Norhayati pula berkata, dia mengambil masa dua hari bagi menyiapkan pakaian Jalur Gemilang untuk dipakai cucunya pada Hari Kebangsaan.

"Saya menggunakan beberapa helai Jalur Gemilang untuk menyiapkan pakaian berkenaan yang lengkap dengan seluar dan songkok," katanya.

Dia berharap pakaian berkenaan dapat menyemai rasa cinta terhadap negara buat bayi berkenaan dan menjadi anak berguna kepada bangsa, agama dan negara suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 September 2021 @ 5:24 PM