Jamiah Wahab (tengah) menerima ijazah secara anumerta milik anak lelakinya, Allahyarham Nursafiq Hamizan Jafri daripada Canselor Universiti Selangor (Unisel), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sempena Istiadat Konvokesyen Unisel ke-15 di Dewan Canselor Unisel Kampus Bestari Jaya, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Jamiah Wahab (tengah) menerima ijazah secara anumerta milik anak lelakinya, Allahyarham Nursafiq Hamizan Jafri daripada Canselor Universiti Selangor (Unisel), Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda sempena Istiadat Konvokesyen Unisel ke-15 di Dewan Canselor Unisel Kampus Bestari Jaya, hari ini. FOTO IHSAN PEMBACA
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Sayu hati seorang ibu apabila menerima ijazah milik anak lelakinya pada Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (Unisel) ke-15 di Dewan Canselor Unisel Kampus Bestari Jaya, di sini hari ini.

Jamiah Wahab, 51, yang hadir bersama anak perempuan, Nur Lily Shafiqah Jafri, 21, tidak dapat menahan sebak sejurus menggenggam Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Pengurusan Perpustakaan) mewakili anaknya, Nursafiq Hamizan.

Allahyarham Nursafiq Hamizan meninggal dunia 4 Mei 2021 iaitu pada Ramadan, akibat batuk kering di rumahnya di Bagan Datuk, Perak.

Jamiah berkata, anak sulung daripada empat beradik itu meminati bidang kewartawanan dan pernah menyatakan hasrat untuk membeli kereta serta rumah apabila memperoleh pekerjaan kelak.

"Dia juga hendak membantu saya dengan bawa tinggal bersama-samanya tetapi Allah SWT lebih menyayanginya.

"Insya-Allah, Nur Lily Shafiqah telah berjanji untuk menyambung Ijazah Sarjana Muda Sains Maklumat (Pengurusan Perpustakaan) seperti diambil abangnya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, dia menyedari Nursafiq Hamizan kerap batuk ketika membuat panggilan video dan memintanya membuat pemeriksaan namun, Allahyarham memberitahu tidak sempat kerana sibuk dengan latihan praktikal.

"Dia dimasukkan ke hospital selama lima hari dan kerap beritahu seakan ditinggalkan. Saya sekeluarga reda dengan pemergiannya dan bangga dengan kejayaan diperolehnya hari ini," katanya.

Terdahulu, seramai 2,864 graduan menerima ijazah dalam bidang masing-masing yang disampaikan Canselor Unisel, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 4:38 PM