Oleh Siti Sofia Md Nasir

Georgetown: Setiausaha Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Datuk Omar Faudzar akan mengambil tindakan undang-undang berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Omar berkata, keputusan itu diambil selepas Guan Eng merosakkan reputasi diri dan syarikatnya, Maison Heights Sdn Bhd di dalam sebuah portal berita, Khamis lalu.

“Baru-baru ini, Guan Eng mengeluarkan satu kenyataan menerusi artikelnya bertajuk ‘Pembohongan UMNO’ yang diterbitkan portal berita The Malaysian Insider.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan dan tohmahan dilemparkan Guan Eng terhadap saya dan Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir dalam artikel terbabit.

“Saya merasa sangat malu dan merasakan tuduhan berbaur fitnah daripada Guan Eng dalam artikel terbabit merosakkan reputasi saya dan syarikat.

“Walaupun penjelasan dibuat berkali-kali berhubung urus niaga dilakukan berkaitan penjualan tanah di Balik Pulau itu, Guan Eng tetap memburukkan nama saya dan Musa dengan menggambarkan kami selaku pemimpin tidak bertanggungjawab dan tidak beretika,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Omar berkata demikian bagi menjawab tuduhan Guan Eng berkaitan isu pembelian tanah di Balik Pulau yang kononnya didalangi pemimpin UMNO Pulau Pinang dalam artikel bertajuk ‘Pembohongan UMNO’ yang disiarkan The Malaysian Insider.

Guan Eng turut mendakwa Perhimpunan Agung UMNO 2014 (PAU2014) yang berakhir semalam adalah medan untuk mencipta pembohongan bagi menimbulkan kebencian agama dan kaum terhadap orang bukan Melayu.

Pada masa sama, Omar berkata, transaksi urus niaga tanah di Balik Pulau dibuat mengikut undang-undang selain turut mendapat persetujuan tuan tanah terdahulu.

“Saya tegaskan transaksi tanah itu tidak membabitkan tindakan menzalimi mana-mana pihak terutama orang Melayu, seperti sering digambarkan Guan Eng.

“Bagaimanapun, ia dijadikan isu politik oleh Guan Eng bagi meraih sokongan awam dan pada masa sama memalukan serta merosakkan reputasi saya.

“Saya menyifatkan perbuatan beliau sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya kepada Guan Eng dalam tempoh terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:09 AM