Bukit Mertajam: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, semalam menafikan kononnya ada menerima ugutan bunuh daripada kumpulan militan Negara Islam (IS).

Guan Eng berkata, beliau tidak ada menerima sebarang ugutan bunuh membabitkan kumpulan militan itu dan menyifatkan ia sebagai ‘silap orang’.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, dirinya ‘orang kecil’ dan tidak mungkin kumpulan militan IS ‘berminat’ terhadapnya.

“Tidak ada .. tidak ada... ia bukan saya. Saya hanya ‘orang kecil’ tak mungkin mereka (kumpulan militan IS ) ada minat (pada saya).

“Saya rasa Ketua Polis Pulau Pinang (Datuk Abdul Rahim Hanafi) beri kenyataan dan kamu (media) ikut sahajalah kenyataan itu...janganlah bagi dia (Abdul Rahim) susah kerja (melaksanakan tugas),” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Kedai Ubat Ban Swee Choon, Jalan Danby di sini, semalam.

Kelmarin, Abdul Rahim berkata, polis akan menyiasat ugutan bunuh daripada kumpulan militan IS terhadap Guan Eng dan guru yoga dari India, SSR Shankar.

Abdul Rahim berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung ugutan bunuh ke atas Shankar, namun tidak mendapat laporan mengenai ugutan sama terhadap Guan Eng.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:11 AM