LIM Guan Eng. FOTO arkib NSTP
LIM Guan Eng. FOTO arkib NSTP
Saadiah Ismail


Kuala Lumpur: Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memulakan tindakan undang-undang terhadap Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang didakwa mengaitkan keluarga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dengan Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Guan Eng dalam kenyataan hari ini berkata ucapan Mastura itu didakwa dilakukan dalam satu ceramah di Kemaman, Terengganu pada 4 November lalu.

Katanya, beliau sudah melantik peguam Datuk Sankara Narayanan Nair sebagai peguam bagi memulakan prosiding terhadap Siti Mastura.

Beliau berkata tindakan itu dilakukan kerana Siti Mastura didakwa menimbulkan ketakutan terhadap DAP dan orang Cina sekali gus membabitkan unsur perkauman dan ekstremis.

Guang Eng sebelum ini memberi tempoh 48 jam yang berakhir Khamis kepada Siti Mastura supaya membuktikan dakwaannya itu.

Semalam, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, membuat aduan di Balai Polis Brickfields berhubung perkara itu.

"Tindakan Siti Mastura itu disifatkan seperti tidak bertanggungjawab malah tiada penyesalan daripadanya kerana membuat ucapan kebencian yang penuh dengan pembohongan keterlaluan, perkauman dan ekstremis.

"Dia juga enggan menunjukkan bukti mengenai hubungan kekeluargaan yang didakwa dan tidak menarik balik kenyataan atau memohon maaf atas pembohongan keterlaluan dan fitnah jahatnya," kata Guan Eng.

Terdahulu, melalui video berdurasi 46 minit 51 saat itu, Siti Mastura pada suatu majlis dirakam mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Selain itu, Siti Mastura juga dalam rakaman itu mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang selain mengaitkan isteri Guan Eng dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Malah, Siti Mastura juga mendakwa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan.

"Penyokong PAS dilihat tidak peduli bahawa dia melakukan pembohongan atau membuat kenyataan berbaur perkauman dan ekstremis selagi ia menentang pemimpin DAP.

"Justeru saya menggesa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian mereka secara terbuka mengenai pembohongan keterlaluan dan fitnah Siti Mastura ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 November 2023 @ 5:04 PM