ABU  Backer     menunjukkan dokumen berkaitan dakwaan isu banglo  Guan Eng.
ABU Backer menunjukkan dokumen berkaitan dakwaan isu banglo Guan Eng.
myMetro

Putrajaya: Seorang peguam tampil menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, semalam, yang didakwa ada kaitan terhadap isu pembelian rumah banglo dan isu pelupusan tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang membabitkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Peguam terbabit, Datuk Abu Backer Sidek Mohamad mendakwa, bukti itu berkaitan aliran urus niaga membabitkan lima syarikat.

“Melalui siasatan forensik dilakukan, saya merumuskan lima syarikat ini ada kaitan antara satu sama lain kerana mempunyai individu pemegang saham sama,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Ibu Pejabat SPRM di sini, semalam.

Justeru, katanya, beliau meminta SPRM segera melakukan siasatan berhubung perkara berkenaan.

“Saya merayu SPRM sebagai badan bebas dan berintegriti melakukan siasatan terhadap beliau (Guan Eng).

“Jika ada bukti beliau (Guan Eng) melakukan kesalahan, tahan beliau manakala jika tidak bersalah... lepaskan. Tujuan saya bukan mahu membalas dendam, tetapi beliau sering bercakap soal integriti berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Dalam pada itu, Abu Backer berkata, pihaknya akan terus melakukan siasatan lanjut bagi mencari mereka yang terbabit dalam penjualan tanah di Taman Manggis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 9:19 AM