Kuala Lumpur: Selaras objektif penubuhan 1Malaysia for Youth (iM4U) untuk menggerakkan belia dalam bidang kesukarelawanan, komuniti sukarelawan belia terkemuka itu sentiasa bersedia tampil memberi sokongan padu dalam menjayakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Bagi mencapai sasaran itu, iM4U menjemput semua golongan belia menyertai Hari Sukarelawan Antarabangsa dengan sasaran melebihi 20,000 individu di 15 lokasi meliputi 14 negeri dan dijangka menyumbang 100,000 jam tenaga kerja.

Ketua Pegawai Operasi iM4U Azlan Rudy Malik berkata, dengan slogan ‘Libatkan Diri, Sertai Kami, Lakukan Kebaikan’, iM4U akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara untuk menyatukan rakyat Malaysia menerusi khidmat sukarelawan serta menggalakkan masyarakat terutama belia menyertainya.

“Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 5 Disember setiap tahun disambut bagi mengiktiraf peranan yang dimainkan semua sukarelawan dalam menjayakan pelbagai program dan bantuan kemasyarakatan di seluruh dunia.

“Hari Sukarelawan Antarabangsa memberi peluang kepada sukarelawan, masyarakat umum, pihak kerajaan dan agensinya, serta pihak swasta bekerjasama bagi mencapai sesuatu tujuan berasaskan semangat kesukarelaan,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini, semalam.

Katanya, sambutan serentak itu membolehkan semua negara mempromosikan sikap tanggungjawab, disiplin, semangat kerjasama, cinta negara dan sifat prihatin rakyat mereka kepada dunia.

“Ini satu landasan dan peluang terbaik bagi mengumpulkan orang ramai untuk tampil membantu, menimba pengalaman dalam melaksanakan kerja sukarelawan.

“Ia juga dilihat sebagai usaha membolehkan mereka meluaskan jaringan kerjasama sukarelawan dengan masyarakat, badan, mahupun persatuan tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 6:26 AM