RUDI (kanan) menunjukkan bangku yang dicat oleh sukarelawan.
RUDI (kanan) menunjukkan bangku yang dicat oleh sukarelawan.
LOGA turut turun padang membantu melukis mural.
LOGA turut turun padang membantu melukis mural.
SUKARELAWAN 1M4U bersama Loga pada program sukarelawan di ibu negara, baru-baru ini.
SUKARELAWAN 1M4U bersama Loga pada program sukarelawan di ibu negara, baru-baru ini.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Program Sukarelawan Malaysia (VM) dilancarkan dengan penuh meriah disaksikan ribuan sukarelawan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara, baru-baru ini.

Serentak dengan itu, komuniti sukarelawan belia utama di negara ini, iM4U turut melancarkan Projek Batu Road bagi memupuk perpaduan dan menyemai semangat sukarelawan dalam kalangan masyarakat tempatan, khususnya golongan belia.

Menerusi program berkenaan, sukarelawan dari segenap peringkat usia berganding bahu untuk mengecat semula bangunan lama, lintasan zebra, kaki lima dan juga bangku di sekitar jalan berkenaan.

Selain itu, berdekatan dengan lokasi yang sama, satu kumpulan sukarelawan di bawah pimpinan pihak berkuasa tempatan turut membantu membersihkan kawasan sekitar dengan membuang poster haram, melukis mural dan juga menanam pokok untuk mencantikkan persekitaran jalan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi iM4U, Azlan Rudy Malik, pihaknya berbangga melancarkan program berkenaan yang juga sempena sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa.

Kata Rudy, program itu mendapat sambutan positif dan dimeriahkan dengan kehadiran ribuan sukarelawan pelbagai lapisan masyarakat untuk sama-sama berganding bahu bagi satu tujuan yang sama.

Katanya, baik 30 minit mahupun lapan jam, setiap usaha yang dilakukan sukarelawan itu mempunyai makna tersendiri kepada masyarakat.

"Pengalaman ini sungguh luar biasa dan sambutan yang diberikan sukarelawan hari ini juga memang menakjubkan sekali.

"Program ini mencapai matlamatnya seiring dengan teras organisasi iM4U iaitu kesejahteraan masyarakat dan pembangunan belia," katanya pada program berkenaan.

Program edisi pertama gerakan sukarelawan terbesar itu turut dihadiri Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Dr Loga Bala Mohan dan Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mahadi Che Ngah.

Sambil meninjau sekitar kawasan jalan yang terkenal itu, Loga dan Mahadi juga berpeluang melihat aktiviti yang dijalankan sukarelawan.

Selain itu, mereka berdua turut meluangkan masa mengecat semula bangunan yang tersergam sejak sebelum zaman perang.

Peserta, Natasya Amira Mohd, 20-an berkata, dia seronok dapat menyertai program sukarelawan yang dapat memberi sesuatu kepada masyarakat.

"Saya hadir pada hari ini bersama beberapa rakan kerana ingin turut menyumbang tenaga untuk mencantikkan bandar ini. Walaupun ini hanyalah sumbangan kecil tetapi ia cukup bermakna untuk diri saya.

"Selepas ini, saya mahu aktif dalam aktiviti sukarelawan bagi melakukan sesuatu bermanfaat untuk masyarakat. Ia juga secara tidak langsung menggalakkan saya menjadi belia yang aktif khususnya dalam kerja kebajikan," katanya.

Sementara itu, program berkenaan turut mendapat sokongan Bahagian Pembangunan Industri, Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia (KPKM).

Sokongan itu selaras dengan kempen 'Voluntourism' iaitu singkatan daripada 'Volunteer Tourism' (Pelancongan Sukarela) yang juga satu inisiatif bagi menggalak serta memupuk semangat sukarelawan dalam masyarakat tempatan dan juga pelancong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 5:03 AM