PESERTA komited membersihkan kawasan sekitar.
PESERTA komited membersihkan kawasan sekitar.
KERUSI turut dicat semula supaya nampak bersih dan menarik untuk digunakan.
KERUSI turut dicat semula supaya nampak bersih dan menarik untuk digunakan.
PESERTA gembira dapat berbakti pada alam sekitar.
PESERTA gembira dapat berbakti pada alam sekitar.

Siswazah tempatan dan antarabangsa daripada INTI International University (INTI) bersama kakita­ngan bekerjasama dengan Komuniti Sukarelawan Belia Malaysia iM4U dalam memupuk semangat sukarelawan sosial dan cintakan alam sekitar melalui program khas, baru-baru ini.

Acara gotong-royong selama satu hari itu menyaksikan penyertaan hampir 1,000 warga INTI berganding bahu dengan sukarelawan iM4U, wakil Majlis Belia Negeri Sembilan dan Majlis Belia Dinamik (Bahagian Barat) membersihkan serta mengindahkan kawasan awam sekitar Nilai, Negeri Sembilan.

Pelajar dan sukarelawan dibahagikan untuk bekerja pada tiga lokasi iaitu kawasan rekreasi semula jadi Hutan Simpan Ulu Bendul, satu daripada taman rekreasi terbesar di Nilai Taman Chempaka dan Kawasan Perumahan Semarak. Antara usaha yang dijalankan ialah membuang kotoran dan sampah, mengecat dan melukis semula, mengindahkan papan tanda, membersihkan longkang tersumbat serta aktiviti penanaman pokok.

Naib Canselor INTI International University Datuk Dr Rahmah Mohamed berkata institusi itu gembira untuk bekerjasama dengan iM4U dan pihak lain kerana ia peluang anak muda meluangkan masa dan usaha melakukan perkara murni.

“Mereka juga dapat belajar pentingnya amalan bekerjasama dan tanggungjawab sosial yang amat tinggi nilainya dalam kehidupan.

“Ia diharap dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar dan warga INTI,” katanya.

Hampir 50 pelajar dari China, Afrika dan Timur Tengah menunjukkan komitmen mereka dalam aktiviti yang julung kali diadakan itu.

Pelajar dari China yang ingin dikenali sebagai Xian berkata, aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar negara lain sepertinya untuk berbakti pada negara ini yang menjadi tempat mereka menimba ilmu.

“Aktiviti sebegini memberi peluang kami mengenali komuniti tempatan dan pada masa sama berjasa kepada alam sekitar,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan Datuk Ahmad Fadzil serta Exco Pertanian dan Industri Asas Negeri Sembilan Datuk Hasim Rusdi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Oktober 2015 @ 5:41 AM