SUKARELAWAN bergotong-royong mengecat bahu jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman bagi mencantikkan lagi kawasan itu.
SUKARELAWAN bergotong-royong mengecat bahu jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman bagi mencantikkan lagi kawasan itu.
Oleh Hamizah Badiran

Memasuki tahun ketiga penubuhannya, 1Malaysia for Youth (iM4U) terus mengorak langkah ke hadapan dalam misinya menyemai dan memperkukuhkan semangat sukarelawan dalam kalangan belia Malaysia.

Buktinya, sejak iM4U wujud, sebanyak 3,300 aktiviti sukarelawan dijalankan di samping turut berjaya mengaktifkan 1.3 juta sukarelawan di negara ini.

Ketua Pegawai Operasinya Azlan Rudy Malik berkata, pihaknya sentiasa memikirkan idea baru dan segar bagi menarik lebih ramai golongan belia mempercayai dan menyertai program sukarelawan.

“iM4U adalah mengenai semangat melakukan kerja atau aktiviti sukarelawan dan tidak akan sesekali lari daripada hakikat itu.

“Kita mahu lakukan transformasi sosial melalui sukarelawan sebagai pendekatan utama. Pihak kami sentiasa mengalu-alukan pembabitan golongan muda dan selain daripada mereka menyertai aktiviti anjuran iM4U, mereka juga boleh mengadakan program sukarelawan sendiri menerusi Dana Sukarelawan 1Malaysia (DRe1M) yang kami sediakan.

“Ini adalah fokus kami di mana sukarelawan boleh memohon dana untuk membiayai kos asas bagi projek kesukarelawan mereka.

“Setakat ini, setiap bulan kami terima lebih 200 permohonan menerusi dalam talian. Pemohon akan menyertakan kertas kerja mengenai projek mereka dan kita akan nilai terlebih dulu sebelum meluluskan sesuatu permohonan,” katanya.

Menurutnya, lima kriteria yang menjadi keutamaan iM4U bagi membolehkan kumpulan sukarelawan mendapatkan sumbangan daripada DRe1M adalah menepati pembangunan belia, sukan, keusahawanan sosial, kesenian dan kebudayaan serta kesejahteraan masyarakat.

Seterusnya bagi mendekati belia di peringkat pengajian tinggi, iM4U Outreach Centre ditubuhkan di universiti awam dan swasta, politeknik, matrikulasi, institut perguruan, kolej komuniti dan sebagainya.

Melalui kewujudan Outreach Centre ini, banyak aktiviti IM4U sudah berjaya dilaksanakan.

Berikutan kejayaan IM4U Outreach Centre ini di dalam negara, wujud permintaan untuk meluaskan jaringan iM4U Outreach Centre kepada pelajar Malaysia yang berada di luar negara.

Justeru, selepas iM4U di Jepun, United Kingdom, Indonesia, China dan Amerika Syarikat, baru-baru ini, iM4U Outreach Centre di Brisbane, Australia pula ditubuhkan dengan kerjasama Persatuan Pelajar Malaysia di negara masing-masing.

iM4U Outreach Centre beroperasi melalui jabatan atau pejabat hal ehwal pelajar di institusi pengajian tinggi dengan menggunakan infrastruktur dan tenaga kerja sedia ada, sekali gus tidak membabitkan kos penubuhan.

Bagi pelajar yang ingin mengadakan sebarang program, mereka boleh menyediakan kertas kerja dan berbincang dengan penyelaras iM4U Outreach Centre di institut pengajian tinggi (IPT) masing-masing. Seterusnya, penyelaras terbabit akan berhubung dengan iM4U bagi permohonan peruntukan, pemantauan dan laporan projek.

iM4U amat berpuas hati dengan sokongan daripada semua pihak ini. Sehingga kini, iM4U sudah mempunyai 700 Outreach Centre, di mana 250 daripadanya amat aktif dan akan terus memperluas jaringan ini pada masa depan.

Selain itu, iM4U juga mempunyai Street Team yang sudah dan akan sentiasa menjelajah ke seluruh negeri untuk menyemarakkan lagi semangat sukarelawan selain menyampaikan maklumat berkenaan iM4U.

Tidak cukup dengan itu, objektif iM4U turut diuar-uarkan melalui stesen radio yang bernaung di bawah iM4U dikenali sebagai iM4U fm.

Azlan Rudy berkata, mungkin agak sukar memahami kehendak dan cita rasa golongan muda, namun dengan adanya stesen radio berkonsepkan khidmat sosial itu, suara mereka dapat didengari dan diberi perhatian pelbagai pihak.

“Saya percaya, untuk mendekati anak muda zaman sekarang, kita perlu menggunakan budaya popular dan muzik adalah satu daripadanya selain fesyen, sukan, media sosial dan seni.

“Saya rasa lebih mudah untuk sampaikan maklumat melalui medium ini. iM4U fm stesen radio pertama di Malaysia yang menggabungkan konsep khidmat sosial dan hiburan untuk belia.

“Istimewanya mengenai iM4U fm. adalah segala keuntungan yang diraih akan disalurkan ke DRe1M untuk menyokong usaha iM4U membantu rakyat Malaysia,” katanya.

Pada September depan, iM4U akan mengadakan program Sukarelawan Malaysia atau Volunteer Malaysia dan menyasarkan lebih 50,000 sukarelawan akan turut serta dalam aktiviti selama satu hari yang dijalankan serentak di seluruh Malaysia.

Perancangan lain untuk tahun ini dan tahun depan, Azlan Rudy berkata, pihaknya memfokuskan menarik minat golongan muda yang sudah bekerja dan berkeluarga, ibu bapa berusia 40 tahun dan ke atas serta kanak-kanak berumur 12 tahun untuk mengambil bahagian dalam aktiviti sukarelawan.

“Kumpulan ini mempunyai kekangan tertentu seperti tiada masa, tidak faham dan sebagainya untuk melakukan kerja sukarelawan. Justeru, kami akan mengadakan aktiviti Reach Out Run pada 14 Jun ini agar mereka boleh menyertainya bersama keluarga.

“Lebih menarik, yuran pendaftaran yang dikenakan akan diberikan kepada empat badan kebajikan terpilih.

“Kami juga akan ke sekolah rendah dan mengadakan program bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru untuk memberi mereka pemahaman yang lebih mengenai iM4U,” katanya yang berazam untuk menjadikan iM4U sangat bernilai di hati setiap rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 6:36 AM