BELIA berpeluang menyumbang sesuatu yang bermakna.
BELIA berpeluang menyumbang sesuatu yang bermakna.
RAMAH mesra dengan penderma darah.
RAMAH mesra dengan penderma darah.
Nurul Husna Mahmud


Tidak mahu ketinggalan dalam menyemarakkan sambutan bulan Kemerdekaan, iM4U mengembalikan kempen Darah Satria iM4U bermula 20 Ogos lalu.

Menariknya kempen tahun kedua lebih meriah menerusi kerjasama Pusat Darah Negara, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Bahagian Pendidikan Teknik & Vokasional, Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) dan iM4U Outreach Center seluruh negara.

Simbolik perjuangan Wira Malaysia

Ketua Pegawai Operasinya, Azlan Rudy Malik berkata, kempen Darah Satria iM4U dilihat ‘signifikan’ dalam menggambarkan perjuangan dan pengorbanan Wira Malaysia yang semakin dilupakan masyarakat Malaysia.

“Darah Satria adalah program menyatukan belia dari seluruh Malaysia bagi memahami kepentingan menderma darah. Ia juga menyediakan akses mudah bagi rakyat untuk menyertai program menderma darah di pusat berdekatan mereka.

“Penderma juga berpeluang menjadi wira menerusi sumbangan darah mereka kepada golongan memerlukan. Dalam program ini sukarelawan juga berpeluang melakukan aktiviti menanam pokok serta beramah mesra dengan golongan memerlukan darah,” katanya.

Program derma darah terbesar

Kata Azlan, melihat kejayaan mengumpul lebih 10,000 sukarelawan tahun lalu, pihaknya menyasarkan lebih ramai penderma menyertai program berkenaan.

“Kita mensasarkan 70 lokasi serata Malaysia mulai 20 Ogos di Kompleks Muhibah, Taman Bolton Batu Caves Selangor dan berlanjutan sehingga Disember 2016.

“Tahun lalu kami berjaya mengumpul sebanyak 9,010 beg darah dengan penyertaan 10,390 peserta dari seluruh Malaysia dan tahun ini kami mahu jumlah itu berganda.

“Kami mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Politeknik, Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia, Pusat Darah Negara serta Hospital Kuala Lumpur sepanjang menganjurkan kempen berkenaan,” katanya.

Setitis darah sejuta harapan

Sukarelawan Muhamad Daniel Ahmad, 26, berkata, program Darah Satria iM4U amat bermakna kerana dengan setitis darah, ia dapat memberi sejuta harapan.

“Menerusi kempen ini, saya sedar betapa pentingnya peranan penderma darah kepada golongan memerlukan sebagai contoh pesakit kritikal.

“Tambah pula ia diadakan sempena bulan merdeka mengingati perit jerih satria dahulu tidak saja bermain peluh sebaliknya turut bermandi darah untuk memastikan keamanan dinikmati hari ini.

“Jadi kempen ini seolah-olah semboyan kepada kami selaku belia untuk turun menyumbang kepada masyarakat dalam bentuk sumbangan berlainan,” katanya.

INFO

Kempen Darah Satria iM4U

• Kali pertama dianjurkan pada 2015.

• Tempoh kempen bermula 20 Ogos 2016 hingga 31 Disember 2016

• Kerjasama Pusat Darah Negara, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Bahagian Pendidikan Teknik & Vokasional, Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) dan iM4U Outreach Center.

• •Untuk maklumat lanjut mengenai Darah Satria iM4U 2016, layari www.im4u.my atau kunjungi 1 Malaysia For Youth di Facebook dan 1m4youth di Facebook.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2016 @ 5:02 AM