Subang Jaya: Sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai polis dikesan semakin licik apabila menggunakan perisian khas ‘magic jack’ memalsukan nombor telefon ahli keluarga mangsa yang diperas ugut.

Dalam kejadian terbaru, seorang suri rumah kerugian RM10,000 selepas ditipu suspek menyamar sebagai Inspektor Wong yang menghubunginya menggunakan nombor telefon milik anak lelaki mangsa.

Suspek mendakwa anak lelaki mangsa yang masih menuntut di sebuah institut pengajian tinggi di Ampang ditahan polis atas kesalahan memiliki dadah.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa berusia 50 tahun mendakwa menerima panggilan telefon jam 12.30 tengah hari kelmarin daripada ‘pegawai polis’ dikenali sebagai Inspektor Wong.

Menurutnya, sindiket itu meyakinkan mangsa berikutan panggilan itu dibuat menggunakan nombor telefon bimbit anak mangsa.

“Mangsa diarah mendengar suara anaknya meminta tolong.

“Sindiket itu sebenarnya membuat panggilan kepada mangsa dengan menggunakan perisian komputer dan perkakas (gajet) dipanggil ‘magic jack’ yang turut ada kaitan dengan rangkaian Internet ‘Voice Over Internet Protocol’ (VOIP),” katanya.

Yahaya berkata, mangsa diberitahu anaknya ditahan tiga minggu untuk siasatan dan mangsa perlu membayar RM250,000 jika mahu anaknya membebaskan.

“Selepas berbincang, mangsa setuju membayar RM10,000 dengan mengeluarkan wang dibank di PJS 11/12 di sini.

“Suspek mengarahkan mangsa memasukkan wang itu dalam satu sampul surat dan menyelitkannya pada papan tanda berhampiran sebuah bank,” katanya.

Menurutnya, suspek memberi jaminan kepada mangsa, anaknya dibebaskan dan pulang ke rumah dalam tempoh dua jam.

“Selepas menunggu dua jam, anak mangsa belum muncul menyebabkan wanita itu segera menghubungi telefon bimbit anaknya.

“Dia bagaimanapun terperanjat apabila anaknya berada di dalam kelas sepanjang hari,” katanya.

Mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sepanjang tahun ini, IPD Subang Jaya menerima enam kes membabitkan kerugian RM48,000 berhubung kes menyamar polis.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan ibu bapa berwaspada dan menghubungi bilik gerakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditalian 03-2616 3999 atau 03-6163822 terlebih dulu ,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:12 AM