Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Subang Jaya: Dua penjenayah dikesan menyamar pekerja sebuah syarikat telekomunikasi sebelum memecah masuk sebuah rumah serta menyerang penghuninya.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi Rabu lalu, suspek memakai kemeja-T putih dengan logo sebuah syarikat telekomunikasi di kawasan perumahan di USJ, di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek berusia 30-an itu menceroboh sebuah rumah sebelum masuk ke dalam sebuah bilik.

Menurutnya, seorang wanita berusia 30 tahun yang juga pemilik rumah itu sedang tidur bersama bayi lelakinya berusia lapan bulan.

“Sebaik melihat mangsa, seorang suspek segera mengeluarkan pisau lipat dan mengikat tangan wanita itu menggunakan kain pelikat,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek melarikan seutas rantai leher, satu gelang tangan, satu telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM1,000 dan kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik mangsa,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan banjir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, semalam.

Yahaya berkata, wanita terbabit yang berjaya melepaskan diri membuat laporan polis.

Siasatan mendapati kedua-dua suspek masuk melalui pintu belakang kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 7:37 AM