PELAJAR SMKA Sheikh Abdul Malek dinobat sebagai juara PROTUNe Peringkat Negeri Terengganu 2014.
PELAJAR SMKA Sheikh Abdul Malek dinobat sebagai juara PROTUNe Peringkat Negeri Terengganu 2014.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) memperuntukkan RM400,500 bagi menjayakan Program Tunas Niaga (PROTUNe) pada tahun depan membabitkan 56 sekolah terpilih di negeri itu.

Timbalan Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat PMINT Razaki Puteh berkata, setiap sekolah akan diperuntukkan RM6,500 untuk memantapkan lagi PROTUNe di sekolah masing-masing.

“Melalui PROTUNe, PMINT memberi galakkan dan bimbingan kepada 35 hingga 50 pelajar untuk bergiat dalam perniagaan seterusnya memupuk bakat dan minat mereka menceburi bidang keusahawanan.

“Sasaran kami untuk melahirkan ramai usahawan dalam kalangan pelajar dan memberi pendedahan kepada mereka mengenai peluang perniagaan yang sangat luas serta memberi pulangan lumayan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Konvensyen PROTUNe Peringkat negeri 2014, di sini, baru-baru ini.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu Shafruddin Ali Hussin yang mewakili Pengarah Pelajaran Negeri Terengganu Zakaria Hussin.

Razaki berkata, sejak 1996, PMINT membelanjakan RM800,000 bagi membina dan menyediakan kios jualan di 55 sekolah terpilih di negeri ini dalam usaha menggalakkan pelajar menceburi bidang perniagaan.

“Bagaimanapun, pembinaan kios dijalankan secara berperingkat dan setiap sekolah memiliki kios masing-masing untuk memberi kemudahan dan galakan kepada pelajar.

“Terbaru kami memperuntukkan RM28,000 untuk membina kios baru di Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Bidong di sini bagi memberi keselesaan kepada pelajar menjalankan perniagaan mereka,” katanya.

Selain itu katanya, PMINT memperuntukkan RM3,000 kepada SMK Bukit Guntong untuk membeli peralatan bagi melancarkan perniagaan mereka iaitu dua mesin basuh dan dua unit pengering rambut.

Pada majlis itu, Delima Cindai Sdn Bhd yang juga syarikat PROTUNe Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek (SMKASAM) dinobatkan johan kategori Syarikat Terbaik dan Persembahan Terbaik keseluruhan mengenepikan 11 sekolah lain dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 serta piala pusingan.

SMKASAM akan mewakili negeri ke Konvensyen PROTUNe Peringkat Kebangsaan di Port Dickson, Negeri Sembilan mulai semalam hingga 23 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:05 AM