Kuala Lumpur: Polis menembak mati dua lelaki dipercayai terbabit dalam jenayah rentas sempadan di pantai timur Sabah dalam operasi khas di Jalan Penampang Baru, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.15 petang, kedua-dua suspek yang belum dikenal pasti identiti itu menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda diekori sepasukan anggota polis susulan maklumat dan risikan.

Difahamkan, setibanya di lokasi kejadian, suspek yang menyedari kehadiran polis bertindak agresif dalam usaha mereka melarikan diri menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan.

Sebelum itu, pergerakan mereka dikatakan dikesan di ibu negeri sebelum diekori hingga ke lokasi kejadian, berhampiran sebuah pasar raya di sini.

Menurut sumber, kedua-dua suspek yang berusia 30-an itu turut bergiat aktif dalam gerakan ketenteraan Kesultanan Sulu termasuk insiden penculikan yang berlaku di Pantai Timur Sabah.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman enggan mengulas kejadian itu, sebaliknya hanya memaklumkan akan membuat sidang media berhubung kes berkenaan, hari ini.

Sementara itu, di Penampang, polis menutup semua laluan masuk ke kawasan berkenaan termasuk mengarahkan semua premis perniagaan sekitarnya ditutup.

Malah, beberapa jurugambar dan wartawan media dari pelbagai agensi ditahan anggota polis sebelum diarahkan memadamkan semua gambar yang dirakamkan di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, seorang saksi kejadian berusia 20-an yang enggan dikenali mendakwa, dia terdengar beberapa das tembakan menyebabkan suasana panik dan orang ramai bertempiaran lari kerana bimbang terkena tembakan.

“Ketika kejadian, saya sedang minum di sebuah kedai kopi berhampiran tempat kejadian. Sejurus kedengaran beberapa das tembakan, kami masuk ke dalam premis sebelum pemilik berkenaan menutup kedai untuk berlindung.

“Orang ramai tak berani keluar atau menghampiri lokasi kejadian sehinggalah polis beruniform tiba kira-kira 10 minit kemudian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Oktober 2014 @ 5:04 AM