UNIK Forensik memeriksa kereta yang ditembak di persimpangan bulatan Charterfield, kelmarin.
UNIK Forensik memeriksa kereta yang ditembak di persimpangan bulatan Charterfield, kelmarin.

Putrajaya: Pengawal peribadi seorang ahli perniagaan berpangkat Datuk yang ditembak bertalu-talu dalam kejadian di Charterfield yang juga dikenali sebagai Downtown KLIA, Sepang malam kelmarin dalam keadaan stabil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, mangsa menjalani pembedahan pagi semalam untuk mengeluarkan peluru dari belakang bahu kanannya.

“Setakat ini, kita belum tahu motif sebenar kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan. Mangsa juga dalam keadaan terkejut dan tidak dapat memberi gambaran sebenar suspek yang melepaskan tembakan.

“Apa yang penting ketika ini ialah memastikan keadaan mangsa betul-betul stabil dan selamat sebelum kita akan mengambil keterangannya,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.45 malam, pengawal peribadi dikenali sebagai Hazrat memandu kereta Mercedes Benz sebelum kenderaannya dihalang dan didatangi dua lelaki yang melepaskan beberapa das tembakan.

Berikutan kejadian itu, mangsa parah pada belakang bahu kanan akibat terkena tiga tembakan.

Suspek didapati melepaskan tembakan dari arah depan dan cermin sisi sebelah penumpang hadapan.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa baru selesai menikmati makan malam berhampiran kawasan berkenaan.

Ketika kejadian, mangsa juga dikatakan memandu bersendirian manakala ahli perniagaan itu menaiki sebuah lagi kenderaan dengan seorang lagi rakan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 8:28 AM