Penduduk  mengharungi banjir kilat akibat hujan lebat  di Kampung Belukar, Changlun.
Penduduk mengharungi banjir kilat akibat hujan lebat di Kampung Belukar, Changlun.
 KEADAAN air di kolam empangan Bukit Merah yang semakin meningkat berikutan musim hujan sekarang.
KEADAAN air di kolam empangan Bukit Merah yang semakin meningkat berikutan musim hujan sekarang.
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Kerian: Kekerapan hujan di daerah ini menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan penduduk setempat terutama yang pernah dilanda banjir besar pada 2008 lalu.

Kebimbangan penduduk semakin bertambah apabila paras air di empangan Bukit Merah meningkat naik hingga hampir mencecah ke tebing.

Beberapa penduduk yang ditemui meluahkan rasa gusar mereka dan berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana bimbang paras air empangan Bukit Merah melimpah.

Penduduk kampung Ismail Ahmad, 55, berkata, dia bimbang sekiranya tragedi 2008 berulang apabila keseluruhan rumahnya ditenggelami air.

Menurutnya, pihak kerajaan kini melaksanakan projek tebatan banjir di Alor Pongsu, di sini, namun projek terbabit masih dalam pembinaan.

“Sememangnya projek tebatan banjir yang dibuat sekarang untuk mengelakkan tragedi 2008 berulang.

“Namun dalam keadaan hujan lebat hampir setiap hari ditambah keadaan air di empangan Bukit Merah yang makin meningkat sudah tentu penduduk bimbang. Kami berharap pihak berwajib menyegerakan projek ini demi keselamatan penduduk,” katanya.

Menurutnya lagi, walaupun masih tiada sebarang tanda amaran dikeluarkan pihak berwajib, dia dan penduduk tetap berwaspada dan dalam keadaan berjaga-jaga.

Sementara itu, Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kerian Ir Hasmi Mat ketika ditemui berkata, sememangnya isi padu air di empangan Bukit Merah sedikit meningkat, namun masih pada tahap terkawal.

Menurutnya, kedalaman air sehingga kini mencecah sembilan meter dalam dan pihak JPS mempunyai cara tersendiri mengawal air berkenaan agar tidak melimpah ke penempatan penduduk.

“Sememangnya berlaku sedikit peningkatan terhadap kuantiti air di dalam kolam itu namun penduduk tidak perlu bimbang kerana ia berada di bawah paras amaran.

“Kami memeriksa jumlah kepadatan air di kolam setiap hari dan segera melepaskan air berlebihan ke Sungai Kurau sebagai inisiatif bagi mengelakkan berlaku limpahan air ke penempatan penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Oktober 2014 @ 5:19 AM