BANJIR di Kampung Serongga. FOTO Bernama
BANJIR di Kampung Serongga. FOTO Bernama
BERNAMA

Pasir Mas: Penduduk kira-kira 10 kampung sekitar Rantau Panjang di sini, yang berdepan dengan masalah banjir termenung sejak tiga minggu lepas menggesa pihak berkuasa yang berkaitan memberi perhatian dan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan masalah mereka.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Bertindak Banjir Rantau Panjang Mohd Ariffin Ismail berkata, masalah banjir termenung itu dipercayai berpunca daripada pembinaan tebatan banjir yang dilaksanakan menerusi projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Beliau berkata, antara kampung terbabit adalah Kampung Tersang, Kampung Bendang Perol, Kampung Gual To'Deh, Kampung Kusar, Kampung Padang Licin, Kampung Luar dan Kampung Tasek Bakong selain beberapa kawasan perumahan sekitar Kampung Lubok Jong.

"Biasanya kejadian banjir di semua penempatan ini pulih dalam masa beberapa hari sahaja, namun sejak tebatan ini dilaksanakan, banjir termenung berlarutan sehingga hampir sebulan.

"Selain mengalami tekanan kerana terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) dalam tempoh yang lama, sebahagian penduduk juga terpaksa menanggung kerugian sehingga ribuan ringgit kerana rumah ditenggelami air," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan demonstrasi aman di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, di sini hari ini, yang dihadiri kira-kira 50 penduduk di kawasan yang terjejas akibat banjir termenung.

Mengulas lanjut, Mohd Ariffin berkata pembinaan pintu air di tebatan berkenaan tidak dapat menampung jumlah pengeluaran limpahan banjir dan langkah lebih berkesan perlu segera dilakukan seperti menambah beberapa pintu untuk laluan air sepanjang benteng kerana laluan sedia ada masih tidak dapat menampung aliran beberapa sungai termasuk daripada empangan Bukit Kwong serta sungai dari Tanah Merah.

"Kami mohon Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad untuk turun padang sekali lagi bagi melihat situasi yang sedang berlaku ketika ini dan mengambil langkah segera dengan lebih efektif," katanya.

Seorang penduduk Kampung Tersang Fatimah Hamad, 80, pula berkata, memandangkan usianya yang sudah lanjut dan uzur, dia sudah tidak larat lagi untuk sentiasa berpindah ke PPS.

"Sebelum ini kalau banjir saya boleh tinggal di rumah dan tidak perlu berpindah kerana air tidak memasuki rumah. Namun sejak kebelakangan ini apabila projek itu dilaksanakan, air memasuki rumah sehingga paras pinggang menyebabkan kerosakan perabot dan perkakasan elektrik, dan saya terpaksa berlindung di PPS dalam tempoh yang lama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 1:59 PM