SEBAHAGIAN penduduk di sini, menyertai demostrasi aman di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
SEBAHAGIAN penduduk di sini, menyertai demostrasi aman di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Penduduk berdekatan lokasi tebatan banjir, projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok, menggesa kerajaan membina terowong pada benteng terbabit susulan banjir termenung yang berlaku hampir sebulan.

Mereka yang terdiri daripada penduduk Kampung Tersang, Kampung Bendang Perol dan Kampung Gual To'Deh, di sini, turut meminta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) Nik Nazmi Nik Ahmad, turun padang sekali lagi melihat situasi yang sedang berlaku.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Bertindak Banjir Rantau Panjang, Mohd Ariffin Ismail berkata, pembinaan pintu air sebelum ini tidak memberi kesan apabila banjir yang melanda kini masih pada paras luar biasa.

Katanya, pihak berkaitan harus mencari penyelesaian segera atau memecahkan benteng supaya air yang tersekat boleh mengalir, seterusnya membebaskan ratusan buah rumah yang kini berhadapan dengan banjir termenung.

"Hantar sahaja mana-mana wakil untuk lihat keadaan rumah penduduk yang bukan sahaja ditenggelami air malah ada rumah kayu yang mereput dan menunggu masa menyembah bumi.

"Kami sebenarnya sudah buntu, tetapi tidak akan pernah lelah untuk menyuarakan nasib kami selagi penempatan di sini terus menjadi 'mangsa' projek yang menganiaya rakyat ini.

"Kalau tak dapat bina terowong, tambah sahaja lebih banyak pintu air kerana yang sedia ada masih tidak dapat menampung aliran beberapa sungai, termasuk empangan Bukit Kwong serta sungai dari Tanah Merah," katanya selepas menyertai demonstrasi aman di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh, di sini, hari ini.

Setakat ini, lebih 10 kampung turut mengalami banjir termenung susulan projek PLSB seperti Kampung Kusar, Kampung Padang Licin, Kampung Luar dan Kampung Tasek Bakong, di sini.

Sementara itu, Fatimah Hamad, 80, berkata, dengan usianya yang lanjut, dia sudah penat berpindah beberapa kali apabila banjir melanda.

"Sebelum ini, memang rumah sentiasa dilanda banjir namun paras air hanya biasa-biasa saja.

"Bagaimanapun, sejak projek berkenaan dijalankan, habis musnah harta benda saya.

"Selain itu, akibat air yang bertakung terlalu lama, ia mula bertukar warna dan busuk menyebabkan kulit gatal. Saya juga risau jika penyakit bawaan air melanda, ia pasti membahayakan golongan warga emas dan kanak-kanak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 11:42 AM