KAGUM melihat aksi Syimir Ahmad berjaya melatih burung yang mempunyai sejarah ‘trauma’ untuk mendarat.
KAGUM melihat aksi Syimir Ahmad berjaya melatih burung yang mempunyai sejarah ‘trauma’ untuk mendarat.
Nurul Husna Mahmud


ANUGERAH yang ada pada penjinak burung kakaktua, Syimir Ahmad Safawi, 34, menarik perhatian penulis sejak melihat anak muda ini mampu memanggil burung terbabit bertenggek pada tangannya selepas melepaskan ia terbang.

Terbaharu, penulis bersama jurufoto sambilan, Faiz Anuar sekali lagi terpukau melihat 'aksi' Syimir Ahmad memujuk burung yang baru dilatih bertenggek di tangannya meskipun Harleyquin Macaw itu tampak teragak-agak untuk mendarat.

Menurut Syimir Ahmad, dia mula memelihara burung sejak 2012 lagi dengan burung pertama ialah kakaktua kecil.

Berdasarkan pengalaman itu dia menyarankan pemilik supaya melatih burung bagi mengelak risiko hilang.

"Bagi mereka yang berhasrat memiliki burung sebagai haiwan peliharaan, perlu ada inisiatif untuk latih terbangkan haiwan ini.

"Ilmu itu penting bagi mengelak risiko burung hilang di samping pengetahuan lain bagi membolehkan haiwan ini lebih sihat dan gembira," katanya.

Kata Syimir Ahmad, sebelum menjadi pemilik atau mahu memelihara burung, anda perlu tahu peraturan tertentu termasuk mendapatkan lesen bagi memelihara unggas berkenaan.

KAKAKTUA Spesies Macaw yang cuba dilatih Syimir Ahmad.
KAKAKTUA Spesies Macaw yang cuba dilatih Syimir Ahmad.

"Burung kakaktua ini ada dua dokumen kebenaran iaitu satu permit dan keduanya ialah lesen. Bagi komuniti burung di Malaysia, semuanya adalah berlesen sementara untuk permit dalam kebanyakan kes, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak memberi kebenaran kerana membabitkan spesies burung terancam.

"Bagi pemilik burung kakaktua, anda perlu tahu ketika membeli haiwan itu kerana biasanya kedai haiwan peliharaan atau pembiak baka (breeder) burung kakaktua kenakan caj tambahan sekitar RM200 hingga RM300 untuk lesen," katanya.

Kata Syimir Ahmad, bakat melatih mula disedari sejak 2018 apabila dia berjaya melatih burung kakaktua spesies African Grey yang dikatakan paling 'bijak' dan banyak kerenah berbanding spesies lain.

"Saya mula latih burung African Grey milik saya dengan mulakan dengan mengajar dalam rumah dahulu sebelum bawa terbang keluar.

DEMO memeriksa bahagian burung yang kerap mengalami masalah kutu.
DEMO memeriksa bahagian burung yang kerap mengalami masalah kutu.

"Mengenai burung kakaktua ini saya sarankan pemilik perlu lakukan bersama komuniti lain bagi latihan terbang bebas atau 'free fly' kerana secara semula jadi haiwan berkenaan terbang dalam kelompok.

"Jika diterbangkan solo, khuatir burung ini berdepan ancaman burung lebih besar seperti helang atau jenis berkelompok seperti gagak menyebabkan ia melarikan diri selain hilang," katanya.

Tambahnya lagi, tip penting bagi mereka yang mahu memelihara kakaktua di rumah, kena wujudkan persekitaran harmoni baik untuk kejiranan mahupun haiwan itu sendiri.

"Kalau hendak bela burung, paling asas kena ada sangkar bagi memudah kendalian haiwan berkenaan. Meskipun rumah anda jenis bertingkat, sebaiknya khaskan satu bilik untuk letakkan burung kerana spesies kakaktua ini terkenal dengan bunyi bising.

KUKU perlu diasah dan diberi perhatian dalam penjagaan burung kakaktua.
KUKU perlu diasah dan diberi perhatian dalam penjagaan burung kakaktua.

"Jika di rumah teres pula, boleh letakkan dalam sangkar di luar rumah kerana burung ini fitrahnya bebas selain ceriakan moodnya," katanya.

Katanya, penjagaan burung ini tidak rumit, malah kuku perlu diasah untuk pastikan cengkaman tidak melukakan pemiliknya.

"Saya sebenarnya sudah terbiasa menjaga burung sejak kecil. Masa kecil dulu setiap minggu ada sahaja burung saya bawa balik untuk dirawat.

SYIMIR Ahmad sarankan lakukan latihan penerbangan bebas burung dengan komuniti supaya haiwan rasa lebih selamat.
SYIMIR Ahmad sarankan lakukan latihan penerbangan bebas burung dengan komuniti supaya haiwan rasa lebih selamat.

"Ia termasuk merpati, gembala kerbau dan banyak lagi. Jadi, sekarang apabila sudah bekerja dan adanya YouTube, ia banyak bantu saya belajar kaedah betul termasuk 'groom' burung," katanya.

Bagi burung kakaktua, biasanya tidak rumit dan haiwan itu boleh dimandikan seminggu sekali. Burung tidak boleh digosok 'bersungguh-sungguh' seperti mandikan kucing kerana ia ada keluarkan minyak bagi membolehkan bulunya kalis air.

"Pemeriksaan berkala seperti kutu juga perlu dilakukan kerana bimbang akan menyebabkan masalah pada bulu.

"Burung kakaktua ini jika stres biasanya akan buat bising dan kalau tahap serius dia akan cabut bulu sendiri.

"Penting pemilik tahu 'lenggok' bahasa burung termasuk bila dia mahu bermain, mandi dan minum. Selain itu, diet burung juga penting dan mudah seperti kekacang, buah-buahan dan sayur-sayuran. Paling penting air mencukupi dan bersih," katanya.

Mengenai teori 'seksis' dalam peliharaan burung iaitu berpendapat burung jantan lebih suka kepada pemilik perempuan sementara burung betina lebih mudah dengan pemilik lelaki, Syimir Ahmad mengakui haiwan itu lebih terkesan dengan sejarah pemiliknya.

"Pada saya burung mungkin memberi reaksi bergantung kepada siapa yang menjaganya terdahulu. Kalau tuannya lelaki, tetapi menjaga burung jantan dengan baik, ia kenal tuannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 7:00 AM