ZAIDI melihat kucing jalanan untuk dijadikan kucing peliharaan. FOTO Aizuddin Saad
ZAIDI melihat kucing jalanan untuk dijadikan kucing peliharaan. FOTO Aizuddin Saad
Sri Ayu Kartika Amri


Petaling Jaya: Comel, manja dan jinak. Itu sifat kucing jalanan yang menjadi pilihan pencinta kucing sepanjang program kucing angkat Buttons and Bows Malaysia Cat Adoption Fiesta 2023 yang berlangsung bermula 6 Januari sehingga hari ini (8 Januari).

Bagi pekerja swasta, Zaidi Jamaluddin, 26, dia tertarik untuk mengambil kucing bernama Molek untuk dijadikan kucing angkat.

"Saya memang sedang mencari kucing untuk dibela memandangkan sekarang saya sudah ada seekor kucing jantan di rumah dan nak carikannya teman.

"Kebetulan saya mencari di media sosial dan terjumpa maklumat mengenai program kucing angkat ini dan terus datang untuk tengok sendiri kucing yang ada.

"Dua kali juga saya pusing-pusing tengok kucing yang berkenan dan saya tertarik dengan Molek disebabkan muka dia yang comel, manja dan jinak, lagi pun saya memang mencari kucing yang ada tiga warna.

"Malah kucing ini seperti ada hubungan unik, seolah meminta saya ambil dan bela dia," katanya kepada Harian Metro.

Zaidi berkata, dia difahamkan kucing itu sebelum ini dijumpai dengan mulut pecah serta sakit dan syukur melalui program kucing angkat ini dia dapat kucing jalanan yang sudah bersih dan sihat serta diberi vaksin.

Sementara itu, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, Buttons and Bows Malaysia Cat Adoption Fiesta 2023 adalah anjuran persatuan itu dan syarikat korporat, Buttons and Bows.

"Acara tahunan ini diadakan setiap dua bulan di sini dan setakat ini sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan.

"Sejak hari pertama, 21 kucing sudah diangkat keluarga baru dan untuk pameran kali ini kami menawarkan kira-kira 100 kucing jalanan untuk dibela.

"Ini adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bukan mensasarkan keuntungan dan setiap kucing akan diberi vaksin serta wajib menjalani proses pemandulan.

"Progam kucing angkat ini juga sebagai usaha membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membantu mereka menangani masalah kucing terbiar atau dizalimi," katanya.

Menurutnya, pemilihan kucing jalanan juga begitu teliti kerana kucing akan dipastikan sihat, tidak garang dan jinak.

"Ada sedikit yuran komitmen dikenakan untuk mereka yang mahu menjadi keluarga angkat kucing ini, iaitu sebanyak RM80 dan mereka akan diberi makanan kucing jenama Buttons and Bows percuma serta beberapa cenderahati.

Bagi Eksekutif Pemasaran dan Jualan Buttons and Bows, Dave S Gill berkata, pihaknya memperuntukkan lebih kurang RM300,000 setiap tahun untuk program CSR membela nasib kucing jalanan ini.

"Melalui CSR ini, kos vaksin, pemandulan dan sara hidup kucing jalanan di bawah pemerhatian serta bantuan Buttons and Bows.

"Setiap hasil pembelian, peruntukkan itu akan kami salurkan bagi tujuan CSR kucing jalanan dan tahun ini kami akan lebih aktif dengan menganjurkan program ke sekolah dan universiti untuk meningkatkan kesedaran mengenai kucing jalanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 January 2023 @ 4:37 PM