PUSAT sehenti untuk kucing boleh membantu pemberian makanan lebih sistematik untuk kucing.
PUSAT sehenti untuk kucing boleh membantu pemberian makanan lebih sistematik untuk kucing.
Mohd Rafi Mamat


KELAB Sahabat Kucing Jalanan Pahang (SKJP) merancang untuk mewujudkan kawasan hentian khas untuk kucing jalanan tahun depan.

Pengerusi Kelab SKJP, Jurina Abdul Radi berkata, bagi tujuan itu pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kawasan peranginan di sekitar bandar raya Kuantan.

"Kami rancang untuk mewujudkan hentian kucing ini di kawasan tumpuan seperti di Benteng Sungai Kuantan berhampiran Tanjung Api, Taman Gelora, Pantai Teluk Cempedak dan Batu Hitam.

"Di tempat berkenaan akan dibina kawasan berbumbung bagi membolehkan kucing makan dan minum.

"Sekali gus tidak mencemarkan kawasan sekitar pusat peranginan di daerah ini,"katanya pada program pemandulan perdana 50 kucing jantan jalanan di Indera Mahkota, Kuantan.

Menurutnya, program pemandulan kucing julung kali diadakan sebagai inisiatif pihaknya bagi mengawal pembiakan kucing jalanan yang dilihat semakin bertambah terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, pihaknya menangkap 50 kucing di lima lokasi seperti di Jaya Gading, Taman Tas, Sungai Isap, Indera Mahkota dan Pasar Besar Kuantan bagi tujuan pemandulan.

JURINA (kanan) menangkap kucing pada program pemandulan perdana 50 kucing jantan jalanan di Indera Mahkota, Kuantan.
JURINA (kanan) menangkap kucing pada program pemandulan perdana 50 kucing jantan jalanan di Indera Mahkota, Kuantan.

"Program ini mendapat kerjasama Pasukan Tindakan Cemas Malaysia, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Seramai 40 sukarelawan menyertai operasi pencarian kucing jantan jalanan termasuk pengusaha kedai haiwan.

ANTARA kucing jalanan diselamatkan Jurina.
ANTARA kucing jalanan diselamatkan Jurina.

"Kos bagi proses pemandulan haiwan dilakukan klinik swasta dianggarkan sebanyak RM3,500.

"Sumbangan diterima daripada rakan media sosial Facebook dan perkongsian makluman melalui aplikasi WhatsApp," katanya yang akan menjadikan program berkenaan sebagai acara tahunan.

Jurina berkata, pihaknya berjaya mengumpul RM18,000 bagi menyelamatkan kucing jalanan sepanjang tempoh PKP, ia digunakan bagi menyediakan makanan dan rawatan bagi kucing dan anjing jalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 6:30 AM