LOGO Facebook dipaparkan pada telefon pintar di Nantes, Perancis. Facebook mengesahkan wujud masalah bagi pelayan utama untuk media sosial dikendalikannya. FOTO AFP
LOGO Facebook dipaparkan pada telefon pintar di Nantes, Perancis. Facebook mengesahkan wujud masalah bagi pelayan utama untuk media sosial dikendalikannya. FOTO AFP
Muhammad Saufi Hassan


FACEBOOK Inc menolak dakwaan segelintir pihak bahawa pelayan utama untuk laman media sosial itu digodam mahupun diserang oleh sebarang bentuk virus.

Pengendali Facebook dan Instagram mengesahkan wujud masalah bagi pelayan utama untuk media sosial berkenaan sehingga mengakibatkan pengguna sukar untuk mendaftar masuk bagi dua platform berkenaan.

Menerusi kenyataan Facebook, kerja pemulihan bagi pelayan utama itu sedang giat dilaksanakan dan berharap pengguna bersabar.

"Secara asasnya, masalah ini membabitkan seluruh dunia namun terdapat beberapa negara yang kurang terkesan. Kerja baik pulih dan kemas kini pelayan utama sedang dilaksanakan dan ia adalah langkah yang perlu untuk memastikan tahap keselamatan sentiasa diutamakan," menerusi satu kenyataan hari ini.

Masalah yang melanda Facebook dan Instagram itu berlaku sejak malam tadi, termasuk di Malaysia, dan masih berlarutan sehingga kini.

Berdasarkan rekod, masalah terbaru ini adalah yang paling lama iaitu sudah berlarutan lebih lapan jam namun pengendali laman sosial itu menegaskan bahawa kerja pemulihan sedang giat dilaksanakan

Pengendali platform itu juga tidak menyebut secara terperinci negara yang masih terjejas dengan gangguan berkenaan.

Berita berkaitan

Gangguan terburuk dalam sejarah Facebook

Facebook perjelas gangguan di Twitter

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 12:09 PM