FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Gangguan perkhidmatan ketiga-tiga gergasi media sosial iaitu Facebook, Instagram dan WhatsApp sudah kembali pulih selepas enam jam.

Pengendali ketiga-tiga aplikasi berkenaan mengambil masa sekitar enam jam untuk memulihkan gangguan dan berdasarkan beberapa laporan, ia adalah antara tempoh gangguan paling lama pernah direkodkan.

Menerusi ciapan daripada akaun rasmi WhatsApp di Twitter menyatakan bahawa perkhidmatan itu sudah pulih secara berperingkat selepas menghadapi gangguan lewat malam semalam.

Ciapan itu juga menyatakan bahawa pihak pengendali sedang melaksanakan fasa pemulihan secara berperingkat dengan berhati-hati.

"Terima kasih atas kesabaran pengguna dan kini, fungsi WhatsApp sedang dalam proses pemulihan.

"Kami akan memberikan laporan terbaru berhubung langkah pemulihan ini," katanya menerusi ciapan di Twitter.

Sekitar jam 6 pagi tadi, perkhidmatan ketiga-tiga aplikasi berkenaan dilihat sudah pulih seperti sediakala selepas menghadapi gangguan.

Bagaimanapun, pengendali aplikasi berkenaan tidak menyatakan punca gangguan itu berlaku.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 9:39 AM