RUTIN berkebun jadikan Kamariah lebih hargai hidup
RUTIN berkebun jadikan Kamariah lebih hargai hidup
Siti Nadirah Hafidzin


SATU ketenangan yang sukar digambarkan tatkala melihat satu persatu tanaman hidup subur dan lebih menggembirakan apabila tiba sesi menuai hasil.

Semua tekanan, masalah dan kesedihan diri umpama hilang sekelip mata apabila melakukan aktiviti digemari lebih-lebih lagi apabila memasuki usia emas.

Ketika usia melebihi 55 tahun, rata-rata wanita bersetuju ia tempoh paling bermakna untuk menghargai diri sendiri dan kehidupan.

Selain beribadat dan mendalami ilmu agama, ramai wanita memilih berbakti kepada tanah kerana ia antara aktiviti sihat yang boleh dilakukan mengikut masa dan kemampuan diri sendiri tanpa ada paksaan.

Berkongsi minat dalam aktiviti bercucuk tanam, Kamariah Hashim, 62, mengakui aktiviti itu bukan saja sekadar hobi malah ia sekali gus mendekatkan dirinya kepada Pencipta Yang Maha Esa.

“Setiap kali bangun daripada tidur dan selesai menguruskan sedikit tugasan di rumah, saya keluar mengelilingi kawasan rumah sambil berselawat memuji kebesaran Allah SWT dan melihat satu persatu tanaman hidup subur.

“Ketenangan yang dirasai tiada tandingan, rutin harian itu menjadikan saya lebih menghargai kehidupan dan nikmat kesihatan ini,” katanya.

Kamariah yang tinggal di Jengka 16, Pahang berkata, selesai meneliti satu persatu tanaman, dia mula menyiram dan menabur baja pada satu persatu tanaman.

“Bukan setakat menyiram dan membaja, saya akan belai setiap tanaman di samping melihat sekiranya terdapat serangga perosak kerana ia antara terapi kepada diri saya juga kepada tanaman itu sendiri.

“Aktiviti ini sangat menggembirakan diri apatah lagi apabila melihat tanaman mula membuahkan hasil .Selain itu, ia juga terbukti membantu mengeluarkan peluh dan baik untuk kesihatan diri,” ujarnya.

POKOK tomato yang lebat berbuah.
POKOK tomato yang lebat berbuah.

Menurut Kamariah, antara yang ditanamnya di sekitar rumahnya di Jengka 16, Pahang adalah tomato, serai, halia, pandan, kunyit dan beberapa jenis pokok buah-buahan iaitu betik dan rambutan.

“Perkara paling menyeronokkan setiap kali melihat tanaman ini berbuah dan saya seisi keluarga bersama-sama menuai hasilnya sebelum dijadikan hidangan.

“Disebabkan ditanam sendiri, saya tidak perlu bimbangkan faktor keselamatan dan kebersihan kerana semuanya dijaga sendiri bermula daripada proses menanam sehinggalah menuai. Malah, saya juga tidak menggunakan racun serangga perosak,” katanya.

Menurutnya, dia bersama suami berusaha memanfaatkan ruang di kawasan rumah itu sebaik mungkin bagi mempelbagaikan jenis tanaman.

“Sebelum ini, suami banyak membantu saya bercucuk tanam namun sejak tahun lalu keadaan kesihatannya tidak mengizinkan menyebabkan dia perlu berhati-hati untuk bergerak.

“Anak pula sudah dewasa, seorang sudah berkeluarga dan menetap di ibu kota, Kuala Lumpur manakala seorang lagi tinggal bersama saya. Kedua-duanya rajin membantu saya bercucuk tanam sekiranya mereka ada masa terluang,” ujarnya.

Kata Kamariah, sukar digambarkan dengan kata-kata namun dia yakin hanya individu yang meminati hobi itu dapat memahami dan merasai nikmat sebenar hasil daripada bercucuk tanam.

“Selain diri sendiri, adik-beradik saya juga hampir semuanya minat bercucuk tanam. Kadangkala kami akan bertukar idea dan bercerita mengenai tanaman masing-masing apabila berjumpa.

“Aktiviti ini juga membuatkan saya perlu rajin. Rajin menanam, menjaga dengan baik sehinggalah menuai hasilnya dan paling utama, sentiasa bersyukur dengan segala nikmat di atas muka bumi ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Ogos 2019 @ 5:30 AM