SUBUR dan segar.
SUBUR dan segar.
Siti Nadirah Hafidzin

Mengikut jejak langkah ibunda tercinta yang suka bercucuk tanam menjadikan wanita ini turut meminati hobi sama. Terapi mata dan minda katanya apabila melihat tumbuhan hijau hidup subur di sekeliling rumah.

Mengakui mula menanam pelbagai tanaman termasuk ulam-ulaman di kawasan lapang di rumahnya di Telok Gong, Pelabuhan Klang, Selangor menjadikan dia semakin obses dengan hobinya itu dan mula menambah jenis tanaman hari demi hari.

Menurut Fadhilah Mukhtar, 45, niat utamanya untuk menikmati hasil tanamannya itu yang boleh dimakan segar tanpa ada rasa was-was.

“Memang saya minat bercucuk tanam tetapi pada masa sama, saya mahu seisi keluarga dapat makan sayur-sayuran yang ditanam.

“Ia bukan saja segar, malah menjimatkan memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat. Gembira rasanya apabila kita dapat makan apa yang kita tanam,” katanya.

Fadhilah yang juga ibu kepada enam cahaya mata ini berkata, selain pelbagai jenis ulam, dia turut menanam cili, kantan, kesum, kunyit, limau purut, limau kasturi, serai dan kari.

“Selain menjimatkan kos perbelanjaan harian, ia juga memudahkan dan menjimatkan masa kerana hanya perlu mengambil apa saja yang ditanam ketika memasak tanpa perlu ke kedai.

“Inilah yang dinamakan berbakti kepada tanah, Alhamdulillah, saya dapat merasai nikmatnya apabila tanaman ini membuahkan hasil,” ujarnya.

FADHILAH bersama hasil tanamannya.
FADHILAH bersama hasil tanamannya.

Tambahnya, dia juga amat gembira kerana suami dan anak turut sama membantu menjaga tanaman apabila mempunyai masa terluang.

“Ini sudah dijadikan sebagai hobi sekeluarga. Saya tidaklah mengharapkan anak selalu membantu menjaga tanaman kerana mereka juga ada tugas masing-masing, namun secara tidak langsung kadangkala mereka turut membantu tanpa disuruh.

“Ia sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan kami melalui hobi yang amat memberikan hasil ini,” katanya.

Hasil keringat

Fadhilah berkata, bagi memastikan kawasan sekitar rumahnya tidak terlalu semak dengan tumbuhan, dia perlu bijak menggunakan setiap ruang selain menyusun atur tanaman.

“Setiap kali bercucuk tanam di sekeliling rumah membuatkan saya berpeluh dan ia dijadikan sebagai pengganti senaman harian.

“Selain menyihatkan, aktiviti ini juga antara terapi buat saya dan seluruh ahli keluarga setiap kali memandang semua tumbuhan yang ditanam hidup subur,” katanya.

Menurut Fadhilah, dia juga sering menambah ilmu serta maklumat mengenai kaedah penanaman dan cara penjagaan melalui Internet atau perbincangan bersama jiran dan rakan.

“Perkara paling menyeronokkan setiap kali melihat tanaman ini membuahkan hasil. Saya seisi keluarga bersama-sama menuai hasil, sekali gus menjadi antara kaedah merapatkan hubungan kekeluargaan.

“Disebabkan ditanam sendiri, saya tidak perlu bimbang dengan faktor keselamatan dan kebersihan kerana segalanya dijaga sendiri bermula daripada proses menanam sehinggalah menuai,” ujarnya.

Menurutnya, walaupun hanya berbekalkan tanah kecil, dia gembira kerana masih dapat melakukan aktiviti diminati.

“Sukar digambarkan apa yang saya rasa, hanya individu yang meminati hobi ini dapat memahami dan merasai nikmat sebenar hasil daripada bercucuk tanam.

“Saya juga memastikan jumlah tanaman bertambah setiap bulan selain memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih,” katanya.

HOBI yang bermanfaat.
HOBI yang bermanfaat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Jun 2018 @ 1:28 PM