SUBUR dan segar.
SUBUR dan segar.
Siti Nadirah Hafidzin

Semuanya gara-gara tanah di belakang rumah yang tidak sebesar mana. Namun kerana tanah itulah juga yang membuatkan dia lebih bertenaga dan tidak lagi cepat berasa penat seperti dahulu, apatah lagi selepas melihat tanaman yang diusahakan boleh dipetik.

Benarlah kata orang, tidak rugi berbakti kepada tanah. Selain dapat mengeluarkan peluh untuk menjaga kesihatan diri, hobi bercucuk tanam menjadi terapi yang menenangkan fikiran. Siapa yang tidak gembira apabila memiliki kebun dapur yang subur menghijau walaupun keluasannya boleh diukur dengan jari.

Bukan sekadar hobi, minat bercucuk tanam menjadikan dirinya sentiasa gembira dan memiliki emosi stabil terutama selepas selesai bercucuk tanam. Malah aktiviti mencabut rumput liar yang cuba mencuri baja tanamannya juga boleh menggembirakan Rohaidah Hashim.

Mengakui mula merasai perubahan positif terutama membabitkan kesihatan dirinya sejak lebih dua tahun lalu menjadikan anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor ini tekad untuk meneruskan hobi bermanfaat ini.

Tanpa disangka, dia yang sebelum ini mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi selain mudah penat dan sering sakit-sakit badan semakin beransur sihat hari demi hari.

Selain mengambil ubat-ubatan mengikut saranan doktor dan mengamalkan pemakanan sihat, Rohaidah, 50, mengakui hobi bercucuk tanam membuatkan dia semakin sihat dan kurang lesu.

“Memang saya minat bercucuk tanam sejak muda, asal ada saja waktu terluang, saya akan tanam apa saja jenis tumbuhan, buah atau sayur-sayuran di kawasan belakang rumah.

“Walaupun saya tinggal di taman perumahan, ia sedikit pun tidak menjadi penghalang untuk saya meneruskan hobi ini. Hari demi hari saya semakin obses dengan hobi ini terutama selepas pulang daripada kerja atau pada hujung minggu,” katanya.

Menurutnya, dalam usia menjangkau angka 50, kesihatan diri antara elemen terpenting yang perlu dititikberatkan supaya kekal sihat dan bertenaga.

HOBI menyihatkan.
HOBI menyihatkan.

“Walaupun sangat berminat tetapi saya tidak memaksa diri. Jika penat, saya akan berehat sambil duduk memerhatikan kebun mini saya. Sebenarnya ada saja kerja yang hendak dilakukan apabila berada di kebun dapur dan inilah aktiviti yang membuatkan saya berpeluh. Apabila berpeluh badan terasa lebih segar dan minda pun lebih tenang.

“Siapa kata tidak penat berkebun, menanam benih sayur dan membelek pokok yang ditanam supaya tidak dimakan ulat atau diserang serangga. Namun ia penat yang berbaloi kerana saya rasa puas melihat hasilnya. Seronok rasanya apabila anak benih sudah dipindahkan ke tanah dan memulakan perjalanan untuk ‘berjuang’,” ujarnya.

Rohaidah yang juga ibu kepada tiga cahaya mata ini berkata, selain pelbagai jenis ulam, dia memilih menanam tumbuhan yang sering digunakan dalam masakan seperti cili, serai, nanas, kantan, kesum, kunyit, limau purut, limau kasturi dan kari. Padanya, semua ini adalah tumbuhan yang wajib ada di setiap rumah kerana menjadi kegunaan harian.

“Gembira setiap kali melihat tanaman sendiri mula mengeluarkan hasil, ia sedikit sebanyak mempengaruhi emosi saya sekali gus menstabilkan tahap kesihatan diri.

“Pada usia ini, saya cuba lakukan apa yang saya gemari untuk memastikan diri sentiasa gembira dan tidak mudah tertekan,” ujarnya.

Tambahnya, dia juga gembira kerana suami dan anak-anak turut sama membantu menjaga tanaman apabila mempunyai masa terluang.

“Bercucuk tanam sudah dijadikan sebagai hobi sekeluarga. Saya tidaklah mengharapkan anak selalu membantu menjaga tanaman kerana semua ada tugas masing-masing, namun secara tidak langsung kadangkala mereka turut membantu tanpa disuruh.

“Saya juga sering mengingatkan kepada anak supaya berbakti kepada tanah kerana secara tidak langsung ia memberi satu pulangan tanpa disangka terutama berkaitan emosi,” katanya.

MELIHAT antara tanaman yang ditanam.
MELIHAT antara tanaman yang ditanam.

Bijak atur ruang

Rohaidah berkata, soal ruang kadangkala menjadi antara kekangan kepadanya untuk terus menanam pelbagai jenis tanaman memandangkan dia tinggal di kawasan perumahan di Kapar, Selangor.

“Setiap kali bercucuk tanam di sekeliling rumah membuatkan saya berpeluh dan ia dijadikan sebagai pengganti senaman harian.

“Sejuk mata memandang tumbuhan berwarna hijau yang ditanam selain saya rezeki ini juga dapat dikongsi dengan jiran terdekat juga dengan ahli keluarga yang datang ke rumah,” katanya.

Menurutnya, dia juga sering menambah ilmu dan maklumat mengenai kaedah penanaman serta cara penjagaan melalui Internet atau perbincangan bersama jiran dan rakan.

SEGAR dan menjadi terapi mata.
SEGAR dan menjadi terapi mata.

“Disebabkan ditanam sendiri, saya tidak perlu bimbang dengan faktor keselamatan dan kebersihan kerana segalanya dijaga sendiri bermula daripada proses menanam sehinggalah menuai,” ujarnya.

Menurutnya, dia semakin gembira kerana ada di antara anak-anaknya yang mula menunjukkan minat untuk bercucuk tanam sepertinya.

“Sukar digambarkan apa yang saya rasa, hanya individu yang meminati hobi ini dapat memahami dan merasai nikmat sebenar hasil daripada bercucuk tanam. Saya juga memastikan jumlah tanaman bertambah setiap bulan selain memastikan kawasan persekitaran sentiasa bersih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 10:13 PM