SUAMI Rashidah membantu menyiram tanaman yang ditanamnya.
SUAMI Rashidah membantu menyiram tanaman yang ditanamnya.
RASHIDAH meminati tumbuhan berwarna hijau.
RASHIDAH meminati tumbuhan berwarna hijau.
Siti Nadirah Hafidzin

Menikmati sayur-sayuran segar yang ditanam sendiri sememangnya mendatangkan satu kepuasan berbeza yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Selain segar dan menjimatkan kos, aktiviti kebun dapur dengan menggunakan sebaik mungkin ruang yang ada di rumah mampu mewujudkan suasana mendamaikan terutama ketika memandang tumbuhan hijau yang ditanam.

Rashidah Ahmad berkata, dia amat meminati aktiviti bercucuk tanam yang dianggap antara hobi paling menyihatkan.

“Setiap kali bercucuk tanam di kawasan tanah kecil di belakang rumah membuatkan saya berpeluh dan ia dijadikan sebagai pengganti senaman harian.

“Selain menyihatkan, aktiviti ini juga antara terapi mata buat saya dan seluruh ahli keluarga setiap kali memandang semua tumbuhan yang ditanam hidup subur,” katanya.

Rashidah yang juga seorang jurugambar berkata, antara yang ditanamnya adalah serai, halia, pandan, kemangi, limau kasturi, limau purut, belalai gajah dan sambung nyawa.

“Perkara paling menyeronokkan setiap kali melihat tanaman ini berbuah dan saya seisi keluarga bersama-sama menuai hasil sebelum dijadikan hidangan.

“Disebabkan ditanam sendiri, saya tidak perlu bimbang dengan faktor keselamatan dan kebersihan kerana segalanya dijaga sendiri bermula daripada proses menanam sehinggalah menuai. Malah, saya juga tidak menggunakan racun serangga perosak,” katanya.

Menurutnya, walaupun hanya berbekalkan tanah kecil, namun dia berusaha memanfaatkan ruang itu sebaik mungkin bagi mempelbagaikan jenis tanaman.

“Sukar digambarkan namun saya yakin hanya individu yang meminati hobi ini dapat memahami dan merasai nikmat sebenar hasil daripada bercucuk tanam.

“Selain diri sendiri, aktiviti kebun dapur ini juga antara hobi seisi keluarga yang dapat merapatkan hubungan kami terutama ketika menuai hasil,” ujarnya.

Tambah Rashidah, dia juga berhasrat memastikan jumlah tanamannya bertambah setiap bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 2:38 PM