Yusliza Yakimir Abd Talib


Pakaian Muslimah antara produk yang semakin berkembang dalam dunia fesyen tempatan hari ini. Sebut saja jubah, blaus, tudung atau selendang, pasti terlintas di fikiran pelbagai jenis rekaan dan corak ditawarkan oleh usahawan fesyen.

Bagi memenuhi cita rasa peminat fesyen Muslimah yang semakin ke depan dalam dunia fesyen hari ini, Omera Couture mengorak langkah sebagai butik pembekal pakaian Muslimah kasual.

Menurut Pengurus Omera Couture Enterprise Ummi Naziha Salleh, 33, Omera Couture memulakan operasi pada akhir 2013 sebagai kilang jahit pukal.

“Kami memahami kehendak anak muda, pelajar dan suri rumah masa kini yang ingin memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan menjual pakaian Muslimah.

“Oleh itu kami mengembangkan sayap Omera Couture dengan mengeluarkan pelbagai busana Muslimah yang kami reka dan jahit sendiri, juga dijual secara borong,” katanya.

Mengetengahkan koleksi busana berkonsepkan kasual, ia menampilkan pelbagai rekaan dengan gaya sederhana, elegan dan sopan.

Pemilihan warna dan fabrik dilakukan sendiri oleh pasukan kreatif butik itu manakala fabrik yang digunakan diimport dari Indonesia dan China dengan pemilihan fabrik yang sesuai dengan cuaca di Malaysia, antaranya crepe, kain kapas, linen dan poliester.

Mengenai koleksi terbarunya, Omera Couture mengutamakan rekaan baju yang polos agar pembeli dapat menambah rekaan terbabit dengan menjahit manik atau renda.

Koleksi busana Muslimah jenama ini turut mendapat sambutan sehingga negara jiran khususnya Singapura dan Brunei. Menggunakan material seperti calla crepe, poly morena, sifon, jersi dan satin, koleksi ini sesuai dengan cuaca di Malaysia yang panas dan lembap sepanjang tahun.

Bekas pegawai pendidikan ini bersama adiknya, Intan Zuraiza Salleh, komited membekal busana Muslimah dengan menumpukan kepada pakaian moden kontemporari yang menepati syariah.

Ia juga masih meneruskan kilang jahit pukal mereka yang berpengalaman menjahit pelbagai jenis rekaan lelaki, perempuan dan kanak-kanak.

“Kami meletakkan belian secara borong yang rendah kepada pelanggan supaya mereka tidak berasa terbeban dan terikat dengan kuantiti serta rekaan terhad. Rekaan boleh dibeli pada harga serendah RM25, bergantung kepada kualiti kain dan rekaan,” katanya.

Untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan, diperkenalkan rekaan baru setiap dua minggu, malah Ummi dan kakitangan syarikat sentiasa mengambil inspirasi dari Timur Tengah untuk rekaan terbaru mereka.

Manakala warna pastel, mewah dan monokrom antara warna kegemaran pelanggan butik itu. Butik jenama ini berada di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras atau melayari Instagram @Omera_Malaysia untuk belian secara borong manakala @Omera_Couture untuk jahit pukal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 12:17 PM